16 Februari 2015


SEJAK namanya meledak menerusi drama Rindu Awak 200%, sudah ada kata-kata kurang enak yang dilemparkan kepada Zul Ariffin. Ada yang kata dia sombong, tidak kurang juga yang menganggap pelakon pujaan ramai itu semakin berlagak.

Ini sebenarnya persepsi klise dan tumpul sesetengah pihak terhadap selebriti.

Menafikan dirinya seperti yang didakwa, kata Zul, mungkin kerana kerap menolak permintaan pelbagai pihak untuk hadir ke majlis yang dianjurkan membuatkan ada yang terasa hati sehingga membuat dakwaan tersebut.

Sedangkan katanya, dia tidak mahu memberikan komitmen kerana kebanyakan undangan yang diterima adalah yang ‘merepek’ dan tiada kena mengena dengan dirinya.

“Kebanyakan undangan yang diterima langsung tidak boleh diterima akal. Saya beri contoh, jemputan untuk majlis memperkenalkan kasut wanita?

“Tentu sekali undangan seumpama itu tidak saya terima kerana tidak ada kena mengena dengan kerja saya malah langsung tidak sesuai dengan saya,” ujarnya.

Biarpun menyedari bahawa keputusannya untuk menolak pelbagai undangan bakal memberi kesan namun tegas pelakon berusia 28 tahun ini, dia tetap dengan keputusannya tidak akan melayan permintaan dan undangan yang tiada kaitan dengan kerjayanya.

Justeru dalam usahanya untuk menapis dan menerima setiap undangan yang diterima, dia kini telah melantik seorang pengurus namun kata Zul, hal-hal berkaitan kerjayanya sebagai pelakon tetap diuruskan sendiri olehnya.

Malah dia percaya, sebagai pelakon, dia perlu menjaga standard agar tidak menyalahguna statusnya itu di tempat yang salah.

“Sebenarnya saya sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cerita yang ditokok tambah apabila nama sedang berada di puncak,” jelasnya lagi.

Zul juga turut terkena tempias cerita panas apabila dikatakan tidak melayan peminat sewaktu sedang menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini.

Menurut aktor itu, dia sentiasa mengalu-alukan sokongan peminat namun ada masanya dia memerlukan waktunya demi tuntutan kerja.

“Dakwaan mengatakan saya sombong tidak benar. Sejujurnya saya menghargai kehadiran mereka, " katanya.



0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!