19 Februari 2015


BritishIndia (Asia) Sdn. Bhd. (BritishIndia), memfailkan saman terhadap pengurusan pusat membeli-belah ikonik terkemuka, Suria KLCC yang cuba mengeluarkan butik itu dari premisnya.

Pengasas BritishIndia, Pat Liew berkata, syarikat yang menyewa di Suria KLCC sejak 1998 diberi empat hari untuk menerima tawaran tanpa syarat sama ada untuk berpindah ke lokasi lain atau diletakkan ke tempat lain.

Kata beliau, surat tawaran diterima pada Julai 2014 meskipun BritishIndia kekal kompetitif membayar sewa, malah pihak pengurusan masih menerima sewa pada bulan yang sama.

Jelasnya, tindakan pihak pengurusan Suria KLCC itu menjadi tanda tanya yang menyebabkan BritishIndia melakukan rundingan dan berjuang untuk mengekalkan tempat mereka di Suria KLCC.

“Kami mendapat tahu bahawa lokasi premis BritishIndia sekarang ini dicadangkan untuk disewa kepada satu jenama fesyen asing yang sudah mempunyai lokasi sedia ada di Suria KLCC.

“Kami dibiarkan tanpa mempunyai pilihan, kami nekad mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi hak-hak kami dan dilayan secara adil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

BritishIndia memohon injunksi untuk menghalang pengurusan Suria KLCC daripada menjalankan ancaman mereka dan perintah halangan dijadualkan pada 24 Februari 2015.

BritishIndia merupakan jenama tempatan yang mempunyai lebih 40 cawangan termasuk 20 di pusat membeli-belah di Singapura, Thailand dan Filipina dan kini masih dalam proses pengembangan di seluruh dunia.

Menurut Liew, BritishIndia dijemput untuk membuka cawangan di lokasi utama dalam Suria KLCC 18 tahun yang lalu apabila pusat membeli-belah berkenaan mula-mula dibuka.

“Bekas Presiden Petronas dan Pengerusi Suria KLCC Sdn. Bhd., Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin berhasrat untuk menampilkan jenama popular Malaysia setanding antarabangsa di pusat membeli-belah itu.

“Sekiranya BritishIndia dipaksa untuk meninggalkan Suria KLCC, ia menandakan pengakhiran bagi satu jenama fesyen yang berjaya di Malaysia di pusat membeli-belah ikonik negara,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!