6 Februari 2015


Isteri kepada seniman veteran, Tan Sri Jins Shamsudin, Puan Sri Halijah Abdullah, menafikan dakwaan kononnya suaminya itu mempunyai empat anak hasil daripada dua perkahwinannya.

Sebaliknya, Halijah, 56, mene­gaskan, suaminya itu hanya dikurniakan tiga anak lelaki sahaja iaitu seorang hasil perkahwinan pertama dengan pelakon Allahyarham Rahmah Rahmat dan dua orang lagi daripada perkahwinan Jins, 80, dengan beliau.

Kepada Utusan Malaysia, Halijah berkata, beliau terpaksa memberikan penjelasan tersebut memandangkan terdapat dakwaan tidak berasas dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ko­nonnya suaminya yang juga bekas Ahli Dewan Negara mempunyai seorang lagi anak.

“Saya mendapat tahu daripada seorang kenalan keluarga mengatakan ada individu yang mengaku sebagai anak kepada suami saya. Pun begitu, saya tidak dimaklumkan apa tujuan individu tersebut membuat kenyataan sebegitu.

“Sebab itulah saya mahu menjelaskan di sini bahawa suami saya hanya berkahwin dua kali sahaja. Perkahwinan pertama bersama seniwati Rahmah Rahmat dan dikurniakan seorang anak iaitu Jefry Jins. Dengan saya pula, kami dikurniakan dua orang anak iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim. Itu sahaja,” tegas Halijah ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Menurut Halijah, penjelasan ini dibuat kerana beliau dan seluruh ahli keluarganya tidak mahu ada orang lain yang akan mengambil kesempatan di atas nama suami­nya, apa lagi ketika Jins menghidap Alzheimer sejak empat tahun lalu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!