2 Februari 2015


Perang mulut’ antara Pas dengan DAP dilihat tiada berkesudah­an apabila Pas hari ini mengingatkan parti sekutunya itu agar tidak bertindak melampaui batas sehingga mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan pimpinan mereka dengan kritikan tidak ber­adab.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, parti itu sepatutnya perlu menjaga adab dalam membuat teguran jika masih mahu meneruskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan Pas.

Tegas beliau, sekiranya DAP berterusan bersikap sedemikian, tidak mustahil kepemimpinan tertinggi Pas melalui Majlis Syura Ulama akan membuat ketetapan untuk mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang.

“Kalau nak teruskan kerjasama ini, DAP kena beradab, jangan nak masuk campur dalam pentadbiran Pas kerana kita sudah mempu­nyai jawatankuasa untuk membuat teguran jangan sampai orang luar pula nak tegur, apa hak dia?

“Jika berterusan begini tidak mustahil kita akan membincangkan (kerjasama politik) dan membuat satu keputusan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Kemelut antara Pas dan DAP semakin parah selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk bersemuka apabila mendakwa pemimpin Pas itu tidak jujur berhubung isu pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). Cabaran Mustafa itu kemudiannya dijawab oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang menyifatkan Mustafa seolah-olah ingin ‘membakar jambatan’ dengan DAP, malah tindak­an tersebut boleh diumpamakan seperti Pas menganggap sekutunya dalam pakatan pembangkang sebagai seteru politik.

Belum pun reda isu pilihan raya PBT itu, Dewan Pemuda Pas Kelantan pula mendakwa Guan Eng mengeluarkan kenyataan barbaur penghinaan apabila menggambarkan Kelantan seperti tiada kerajaan ketika banjir yang lalu.

Berikutan serangan tidak henti-henti DAP itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman menyatakan parti itu tidak bimbang sekiranya kemelut dengan DAP akan berakhir perpecahan pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, Mahfodz berkata, Pas setakat ini masih boleh bertahan dengan sikap DAP sejak akhir-akhir ini kerana mahu menjaga hubungan dalam pakatan pembangkang.

Walau bagaimanapun, kata beliau, tahap kesabaran parti itu ada batasnya selepas siri serangan berterusan DAP terhadap Pas.

“Setakat ini kita masih boleh bersabar, kalau dah lebih had, mungkin akan berpecah, kemungkinan dia (DAP) yang akan tendang kita, tetapi seboleh-bolehnya kita nak bertahan, namun, (kalau berpecah sekalipun), tidak merugikan di pihak kita,’’ katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!