1 Februari 2015


SIBU - Sekumpulan pekerja ladang kelapa sawit warganegara Indonesia di Jalan Binta­ngor-Sibu dekat sini gempar apabila diserang seekor haiwan yang kelihatan aneh dan berkuku panjang serta tajam semalam.

Beruang matahari yang menghidap penyakit kulit ini pengsan setelah dipukul oleh sekumpulan pekerja warga Indonesia yang mendakwa ‘haiwan aneh’ itu cuba menyerang mereka di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor-Sibu, Sibu, Sarawak, pagi kelmarin.

Salah seorang pekerja itu memberitahu, dalam kejadian pukul 10 pagi itu, binatang tersebut tiba-tiba datang meluru ke arah mereka yang ketika itu sedang sibuk bekerja di ladang.

“Apabila melihat haiwan itu yang kelihatan agresif seperti mahu menerkam kami, rakan saya telah memukulnya hingga pengsan dan menghalaunya ke hutan berdekatan selepas ia sedar.

“Kami juga sempat merakam video dan mengambil gambar haiwan aneh itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) percaya haiwan aneh yang menyerang pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor-Sibu semalam adalah beruang matahari.

SFC dalam kenyataan berkata, berdasarkan pemerhatian oleh Ketua Warden Hidupan Liarnya terhadap foto dan rakaman video oleh pekerja ladang berkenaan, haiwan itu mempunyai ciri-ciri yang menyamai beruang matahari yang merupakan spesies yang amat jarang ditemukan.

Katanya, antara ciri itu ialah muncung hidung berwarna hitam dan kuku yang panjang.

“Ia juga dipercayai sakit tenat dan luruh hampir keseluruhan bulu,” katanya di sini hari ini.

Menurut SFC, keadaan banjir di kawasan penemuan itu menyukarkan Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) agensi tersebut mengesan dan menyelamatkan haiwan itu.

“Beruang matahari adalah spesies yang paling kecil dalam kalangan lapan jenis beruang di dunia dan dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1998 di Sarawak,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!