20 Februari 2015


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kepemimpinannya semakin digugat dari dalam parti secara terang-terangan, mengingatkan ahli-ahli Pas agar tidak berkhidmat bagi pihak lain atau mengkhianati jemaah.

Beliau yang berdepan dengan tekanan sekutu pakatan pembangkang ekoran pendirian yang tidak sehaluan menegaskan, ahli-ahli Pas tidak seharusnya melakukan perkara yang hanya merugikan masa depan parti.

Dalam kenyataan terbaharu menerusi video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya hari ini, Abdul Hadi tanpa merujuk kepada pihak tertentu menegaskan, mereka harus memahami baiah dan wala' sebagai sebahagian daripada ahli jemaah dalam persoalan yang sangat penting itu.

Katanya, apabila menyebut tentang baiah, perkara itu berkait dengan janji setia kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan Rasulullah untuk mengukuhkan seorang ahli jemaah dengan jemaah serta kesetiaannya.

“Maka yang terpenting di dalam jemaah itu ialah memelihara yang tersirat dalam hati kita, keimanan dan keikhlasan kita kepada Allah dan perjuangan untuk menegakkan Islam.

“Dalam melaksanakan apa yang dilahirkan dan menjadi hukum kepada baiah khususnya dalam perkara ketaatan dan perkara yang mutlak kepada Allah dan Rasul dan ketaatan yang tidak bermutlak, yakni bersyarat kepada kepimpinan dan jemaah dalam perkara yang tidak maksiat dan tidak bercanggah dengan perintah dan ajaran Rasul,” katanya dalam video berdurasi 3.04 minit itu.

Menurut beliau, wala' dan kesetiaan kepada perjuangan Islam dan jemaah seharusnya tidak berbelah-bahagi, dengan cara tidak memesongkan ahli-ahli daripada menjalankan kerja jemaah dan hanya menguntungkan jemaah.

Di samping itu katanya, mereka perlu menghindarkan diri daripada kerja-kerja yang merugikan jemaah dan berkhidmat kepada pihak lain bagi menggelakkan dikategorikan sebagai pengkhianat.

“Ini merupakan hal-hal yang sangat penting apabila kita melakukan baiah kepada kumpulan Islam, kalau di negara kita ialah Parti Islam SeMalaysia. Itulah perkara yang saya ingin beri penekanan dalam kenyataan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan, ahli Pas disaran supaya mentaati pemimpin sekiranya memahami hukum baiah.

“Apa peringatan yang disampaikan oleh presiden kita kena patuh seperti hal yang melibatkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) ataupun parti lain dalam pakatan rakyat.

“Jangan terlalu mengikut kehendak mereka, sekiranya benar sayangkan Pas, kita sebagai ahli kena patuh kepada presiden sebab di orang nombor satu parti,’’ katanya.

Tambah beliau, sebagai ahli parti, apa yang disarankan oleh pucuk pimpinan wajar dipatuhi asalkan tidak bercanggah dengan perjuangan parti dan Islam.

“Saya tidak perlu ulas panjang lagi, presiden sudah berikan peringatan itu, sebagai ahli kita kena ikut,’’ jelasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!