20 Februari 2015


“SAYA tidak berniat untuk ‘hilang’ dari kem latihan sejak 6 Februari lalu tetapi terpaksa berbuat demikian bagi menenangkan fikiran ekoran pelbagai masalah yang saya hadapi.”

Demikian pengakuan tonggak skuad hoki negara, Faizal Saari semalam sambil berharap segala masalah yang dihadapinya ketika ini selesai sebelum kembali menyertai latihan skuad negara pada Rabu depan.

Penyerang skuad yang mendapat jolokan The Speedy Tigers itu juga terpaksa membantu keluarganya berniaga dan mencuci kediaman rumah mereka di Rantau Panjang, Kelantan selepas dilanda banjir baru-baru ini.

“Memang saya nak kembali berlatih tetapi banyak sangat masalah yang dihadapi sekarang ini. Tak seronok kalau bermain tetapi kepala dibebani dengan seribu satu macam masalah. Saya bertindak demikian kerana mahu mencari ketenangan.

“Saya tengah berehat sekarang ini di kampung (Rantau Panjang, Kelantan). Saya bantu keluarga mencuci rumah, berniaga dan selesaikan beberapa perkara selepas banjir baru-baru ini.

“Biarlah semua masalah ini selesai dahulu dan tunggu sehingga saya berjumpa dengan Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara). Saya akan kembali melapor diri pada Rabu depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Biarpun enggan mendedahkan masalah sebenar yang dialaminya ketika ini, namun penyerang berusia 24 tahun itu mengakui isteri kepada adiknya, Mohd. Fitri Saari yang juga hilang daripada kem skuad negara kerana mengalami masalah kesihatan teruk.

Misteri kehilangan dua tonggak skuad hoki negara itu mula menjadi perhatian selepas tidak kelihatan sepanjang sesi latihan sebaik berakhirnya kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan lalu.

Mereka juga tidak beraksi dalam lima perlawanan persahabatan menentang Mesir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu.

Bagaimanapun, terdapat dakwaan mengatakan Faizal merajuk dengan Konfederasi Hoki Malaysia disebabkan kelewatan menjelaskan bayaran bonus tertunggak, namun ia dinafikan Setiausaha Kehormat badan induk itu, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz baru-baru ini.

“Bukan saya merajuk, cuma biar masalah ini selesai dahulu. Secara jujur saya memang nak bantu skuad hoki negara pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (di Belgium, Jun depan),” tambah Faizal.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!