12 Februari 2015



Tuah pentas Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) baru-baru ini semestinya membawa perubahan besar kepada kumpulan penghibur jalanan atau buskers yang dikenali sebagai Caliph Buskers. Mencetuskan fenomena sejak penampilan perdana mereka pada anugerah itu, kumpulan ini kini tidak putus-putus menerima jemputan untuk melakukan persembahan.

Bagaimanapun, lumrah berada dalam lapangan seni, Caliph Buskers yang dianggotai oleh enam Orang Kelainan Upaya (OKU) ini iaitu Khairul Azmi Saad, Mohd. Zaki Ismail, Nirwan Zainal Abidin, Nor Nadira Rubina, Syahzmeen Abdul Rahman dan Fendy Abdullah kini sudah mula terpercik dengan sensasi dunia hiburan.

Mereka didakwa telah mengenakan bayaran yang tinggi untuk melakukan persembahan dan bersikap demand. Berbanding sebelum terkenal, bayaran yang dikenakan kumpulan ini dikatakan terlalu mahal. Tidak cukup dengan itu, kumpulan ini juga dikatakan sudah mula memilih untuk mengadakan persembahan di tempat-tempat terpilih sahaja.

Enggan mempercayai perkara yang diuar-uarkan di media sosial, Kosmo! mendapatkan penjelasan sebenar daripada salah seorang anggota yang paling berpengalaman dalam kumpulan tersebut, Zaki.

Terkejut dengan kenyataan yang dilemparkan, Zaki bagaimanapun mempunyai penjelasan rasional di sebalik isu tersebut.

Ikuti temu bual Kosmo! mengenai isu yang mampu menjatuhkan nama baik kumpulan ini.

Kosmo!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Caliph Buskers kini semakin demand dengan mengenakan bayaran tinggi berbanding sebelum kalian terkenal?

Zaki Caliphs Buskers: Saya sangat terkejut dengan kenyataan yang mengatakan kami demand. Ya, saya mengakui memang kami meletakkan bayaran sedikit tinggi berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, mereka perlu fikir mengenai kos pengangkutan dan peralatan yang kami gunakan semasa melakukan persembahan.

Jika sebelum ini kami hanya menggunakan teksi untuk bergerak melakukan persembahan, namun kini kami terpaksa menyewa van untuk mengangkut peralatan kami dan semua yang terlibat.

Sudah tentu kami hendak melakukan persembahan yang baik memandangkan kami kini sudah dikenali secara komersial. Jadi, semua kos itu diambil kira dalam memastikan mutu persembahan kami.

Berapakah caj yang dikenakan oleh pihak Caliph Buskers dan berapakah peningkatan berbanding caj yang dikenakan sebelum kalian terkenal?

Jika dahulu kami mengenakan bayaran sekitar RM1,000 untuk melakukan persembahan di rumah kenduri kahwin, namun kini kami mengenakan bayaran sekitar RM2,000 untuk melakukan persembahan. Bayaran tersebut sudah diambil kira dari segala aspek termasuk caj pengangkutan, peralatan dan sebagainya. Lagipun, kami perlu menjaga taraf kami sebagai penghibur profesional dan hal ini sudah dinasihati oleh beberapa pihak yang sudah lama berada di dalam lapangan seni.

Adakah pihak syarikat rakaman, KRU Music berpengaruh dalam mengenakan bayaran terhadap persembahan yang kalian lakukan?

Jika mereka mempengaruhi kami dan kami sememangnya artis di bawah naungan mereka, sudah tentu mereka mengenakan bayaran yang lebih tinggi, barangkali sekitar RM8,000 bagi satu persembahan.

Saya tegaskan di sini, mereka (KRU) tidak langsung berpengaruh dalam isu pembayaran. Hal ini kerana, kami lebih gemar untuk menguruskan sendiri urusan pembayaran tersebut.

Bolehkah anda kongsikan mengenai jumlah jemputan untuk melakukan persembahan yang kalian terima sekarang?

Jadual kami begitu padat dan jemputan yang diterima sangat memberangsangkan. Saya sangat bersyukur kerana sambutan yang diterima dan kami tidak putus-putus menerima jemputan untuk melakukan persembahan, tidak kira persembahan bagi syarikat korporat ataupun majlis perkahwinan.

Secara purata, sekarang kami perlu memenuhi sebanyak dua jemputan untuk melakukan persembahan dalam satu hari. Walaupun letih, kami cuba memenuhi semua permintaan yang ada dan saya berharap agar beberapa pihak bertoleransi dengan keadaan kami.

Sebelum ini, menjadi seorang anak seni dan penghibur merupakan kerja separuh masa yang dilakukan oleh kalian. Adakah kini kesemua ahli anggota Caliph Buskers bergiat aktif dalam bidang seni?

Ya, kami semua kini terlibat secara penuh dalam bidang seni. Jadual seni sudah cukup untuk membuatkan ruang masa kami begitu terhad.

Saya juga terpaksa memperlahankan pekerjaan saya sebagai pengurus pusat urut untuk memberi fokus terhadap bidang baharu ini.

Apakah perkembangan terbaharu kalian?

Alhamdulillah, kami kini dalam perancangan mengeluarkan single yang akan diterbitkan menjelang April depan.

Bagaimanapun, single tersebut masih belum boleh diuar-uarkan kepada umum. Di samping itu, kami juga dalam perancangan untuk merakamkan beberapa single lain termasuk kolaborasi bersama beberapa penyanyi tempatan.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!