10 Februari 2015


Dalam negara yang terkenal dengan kepelbagaian agama dan kaum, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya bersikap lebih sensitif sebelum menyusun jadual perlawanan Liga Malaysia agar tidak bertembung dengan hari kebesaran mana-mana kaum.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, beliau terkilan kerana perlawanan ketiga Liga Perdana diadakan pada 20 Februa­ri ini iaitu bersamaan hari kedua Tahun Baharu Cina.

Bukan mahu memperbesarkan isu, namun Nazir Ariff menegaskan, Pulau Pinang yang dijadual bertemu PKNS di Stadium Bandaraya pada tarikh berkenaan pasti menerima kesan ekoran mempunyai dua pemain berbangsa Cina iaitu Yong Kuong Yong dan See Kok Luen yang merupakan tonggak pasukan.

‘‘Saya terkejut apabila menge­tahui 20 Februari ini pasukan kami terpaksa turun bermain sedangkan pada tarikh berkenaan ialah hari kedua Tahun Baharu Cina. Dalam hal ini saya rasa FAM kenalah sensitif sikit.

‘‘Bagi pendapat saya, kurang wajar FAM mengadakan sebarang perlawanan pada tarikh ber­kenaan sebagai menghormati pemain berbangsa Cina.

“Walaupun mereka mungkin tidak ramai beraksi dalam Liga Malaysia, namun kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini kerana kita kena hormat hari kebesaran sesuatu kaum.

‘‘Sepatutnya tarikh perlawanan diinjak ke satu hari lagi iaitu sekurang-kurangnya pada 21 Fe­bruari, jadi saya memang kurang mengerti sama ada jawatankuasa berkenaan (menyusun jadual perlawanan) tidak perasan atau tiada sebarang pilihan.

‘‘Jangan lupa Pulau Pinang ada dua pemain berbangsa Cina iaitu Kuong Yong dan Kok Luen yang sentiasa berada dalam perancangan jurulatih (Jacksen F. Tiago),” kata­nya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tegas Nazir Ariff yang mula memegang jawatan Presiden FAP semenjak Ogos 2013, selain isu pemain, Pulau Pinang juga dikenali mempunyai ramai penyokong berbangsa Cina dan mereka sering turun ke stadium memberi soko­ngan kepada skuad Harimau Kumbang.

‘‘Mungkin ramai tidak tahu, Stadium Bandaraya sering kali mencatat kehadiran ramai penyokong berbangsa Cina dan mereka selalu turun ke stadium.

“Jadi, apabila perlawanan diadakan pada hari kedua Tahun Baharu Cina, saya rasa pasti beri kesan terhadap jumlah kehadiran penyokong.

‘‘Apa yang pasti, ia bukan sesuatu yang baik untuk perkembangan bola sepak jika kita mahu menjadikan sukan ini sukan untuk semua bangsa,” katanya.

Selain Pulau Pinang, Kedah juga membariskan seorang pemain berbangsa Cina iaitu Lew Han Hung, manakala Nichola Chan mewakili Kuala Lumpur.

Sementara itu, Jacksen yang berpengalaman 12 tahun di Indonesia selaku jurulatih mengakui, sepanjang mengendalikan tujuh pasukan berbeza, tidak pernah pasukannya perlu ber­aksi pada hari perayaan mana-mana kaum.

“Situasi yang alami sedikit pelik kerana jika di Indonesia, jika ada hari perayaan atau kebesaran bagi mana-mana agama atau bangsa, pasti tidak akan ada sebarang perlawanan termasuk pada bulan puasa.

“Namun di sini mungkin penilaian budaya masyarakatnya agak berbeza dengan Indonesia atau negara-negara lain, saya tidak tahu dalam soal ini ke­rana baru beberapa bulan di Malaysia, ” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!