5 Februari 2015


PENYUSUTAN harga minyak dunia ke paras bawah AS$50 setong sejak hujung tahun lepas, mendorong pertanyaan dan desakan agar tarif elektrik turut sama diturunkan, sama seperti yang dilakukan terhadap harga bahan api kenderaan.

Tuntutan ini semakin nyaring berikutan satu lagi penurunan harga runcit petrol RON95 sebanyak 21 sen kepada RM1.70 seliter, RON97 sebanyak 11 sen kepada RM2 seliter dan diesel 23 sen kepada RM1.70 seliter.

Parti pembangkang dan segelintir dalam kalangan kerajaan sendiri menggunakan peluang membuat desakan untuk meraih populariti walaupun mereka tahu perkara ini telah digariskan dengan jelas dalam pengumuman penstrukturan semula Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Januari lalu bahawa kenaikan tarif elektrik akan ditangguh sehingga tahun hadapan.

Bermula Januari 2014, tarif elektrik di Semenanjung Malaysia naik 14.89 peratus atau 4.99 sen/kwh kepada 38.53/kwh berbanding 33.54 sen/kwh sebelum itu.

Tarif elektrik di Sabah dan Sarawak pula naik lima sen atau 16.9 peratus iaitu 34.52 sen/kwh dari kadar 29.52 sen/kwh.

Beberapa persatuan yang mewakili industri termasuk Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia yang mahukan kaedah sama seperti penurunan bahan api kenderaan dilaksanakan ke atas tarif elektrik.

Mungkin jawapan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bahawa kejatuhan harga minyak tidak memberi kesan kepada tarif elektrik tidak menyakinkan banyak pihak. Apatah lagi, semasa menjustifikasikan kenaikan tarif pada tahun lalu, kenaikan harga minyak dijadikan faktor pendorong. Tetapi bagaimana sekarang bila harga minyak turun?

Persoalan ini dikemukakan terus kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Berikut adalah jawapan TNB:

Terdapat empat faktor tentang kedudukan TNB berhubung tarif elektrik semasa negara.

1. Kos pelepasan bahan api 
dan penjanaan (ICPT)
ICPT adalah satu mekanisme dibawah kerangka kerja Sistem Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation (IBR)) yang membolehkan TNB sebagai entiti utiliti elektrik untuk melepaskan (pass-through) sebarang perubahan kos bahan api dan penjanaan.

ICPT dihitung bagi menggambarkan perubahan dalam harga pasaran bahan api semasa yang berubah-ubah berbanding harga bahan api yang telah ditanda aras di dalam penetapan tarif elektrik. TNB juga akan menyalurkan penurunan ICPT kepada pelanggan apabila berlaku pengurangan keseluruhan kos bahan api dan penjanaan.

Mekanisme ICPT ini sejajar dengan rancangan kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi negara.

2. Penanda aras bahan api dalam tarif elektrik

Berkuat kuasa 1 Januari 2014, penanda aras harga bahan api dalam tarif elektrik ditetapkan seperti berikut:

a) Gas berpaip: RM15.20/mmBTU
Harga gas berpaip untuk sektor tenaga pada masa ini bukan pada paras harga pasaran dan masih disubsidi oleh kerajaan.

b) Gas Asli Cecair (LNG): RM41.68/mmBTU.
Harga pasaran LNG bagi tempoh dari Oktober hingga Disember 2014 ialah RM46.04/mmBTU, dan masih berada sekitar paras harga ini, walaupun trend menurun semasa dalam harga minyak.

c) Arang batu: AS$87.50/tan
Terdapat penjimatan berikutan harga arang baru yang rendah. Harga arang batu bagi tempoh dari Oktober hingga Disember 2014 ialah AS$72.93/tan. Bagaimanapun, penjimatan yang diraih tidak memadai untuk menanggung kos LNG yang lebih tinggi.

3. Penjanaan campuran dan 
harga bahan api

Arang batu, gas asli berpaip dan LNG adalah bahan api utama yang digunakan dalam sektor tenaga.

Dalam campuran kedua-dua bahan api bagi penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia, gas asli berpaip dan LNG adalah penyumbang terbesar iaitu kira-kira 55 peratus dari segi campuran penjanaan. Sumber-sumber penjanaan lain ialah arang batu, hidro dan tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy atau RE).

Daripada kira-kira 55 peratus yang disumbangkan oleh gas, sebanyak 70 peratus adalah gas asli berpaip yang pada masa ini ditetapkan pada harga subsidi RM15.20/mmBtu. Ini membolehkan kerajaan mengekalkan tarif elektrik yang masih bersubsidi kepada rakyat. Baki 30 peratus lagi adalah LNG yang dibeli pada harga pasaran.

Harga arang batu bagi tempoh Oktober hingga Disember 2014 ialah AS$72.13/tan. Harga ini adalah lebih rendah daripada harga penanda aras yang ditetapkan iaitu AS$87.50 setan untuk penetapan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Januari 2014. Namun, harga arang batu yang rendah tidak dapat menampung harga LNG yang telah naik sejak Januari 2014. Harga LNG naik kepada RM46.041/mmBTU untuk tempoh Oktober hingga Disember 2014.

Kos bahan api yang ditanggung TNB juga terkesan daripada penurunan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat. Ia juga turut memberi kesan terhadap penurunan kos bahan api yang ditanggung oleh TNB pada masa hadapan.

4. Anggaran kos bahan api 
dari Januari hingga Disember 2014

Bagi tempoh dari Januari hingga Disember 2014, anggaran perbezaan kos bahan api dan penjanaan berjumlah RM847.96 juta.

Namun, kerajaan telah memutuskan untuk tidak membebankan rakyat dengan menyerap kos tersebut menggunakan dana yang terkumpul menerusi perundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) generasi pertama.

Sehubungan itu, tarif elektrik dapat dikekalkan pada paras sekarang. Bagaimanapun, dana yang dikumpul daripada rundingan semula PPA itu adalah terhad dan tidak akan mencukupi untuk mengatasi kemungkinan kenaikan harga bahan api di masa akan datang.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!