2 Februari 2015


Pemilik syarikat media, Kumpulan The Edge serta portal propembangkang, The Malaysian Insider, Datuk Tong Kooi Ong hari ini tampil menafikan beliau merupakan individu yang melakukan kegiatan spekulasi mata wang bagi menjatuhkan ekonomi negara.

Kooi Ong yang juga penganalisis kewangan dan pengasas Phileo Allied Berhad berkata, sehingga kini, Bank Negara masih belum menghubunginya dan beliau bersedia memberi kerjasama sekiranya diperlukan.

Menurutnya, beliau sedang dalam proses untuk mengenal pasti pihak di belakang beberapa laman web yang membuat tuduhan terhadapnya untuk mengambil tindakan saman.

“Saya dengan sekeras-kerasnya menafikan tuduhan (melakukan spekulasi mata wang bagi menjatuhkan ekonomi negara) itu. Saya tidak pernah pada bila-bila masa menjatuhkan nilai ringgit.

“Saya seorang penganalisis ekuiti dan usahawan. Saya juga seorang pelabur. Saya tidak pernah menjatuhkan mata wang atau ekuiti. Saya mengambil alih dan membina syarikat, mewujudkan nilai bagi pemegang saham dan mewujudkan pekerjaan melalui idea dan inovasi. Rekod saya sendiri bercakap untuk saya.

“Saya yakin Bank Negara akan sedar sekiranya berlaku kegiatan jenayah ini. Bank Negara masih belum menghubungi saya dan saya sedia memberi kerjasama sepenuhnya pada bila-bila masa diperlukan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman portal The Malaysian Insider di sini hari ini.

Ruang kolum Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini menggesa Kooi Ong untuk menjawab segala tuduhan yang tersebar meluas di media sosial dan portal berita bahawa ahli perniagaan itu melakukan cubaan mensabotaj ekonomi negara menerusi kegiatan spekulasi mata wang.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan tentang kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

Mengulas mengenai keadaan ekonomi negara, Kooi Ong berkata, perbuatan untuk menjatuhkan nilai ringgit adalah mustahil kerana rizab mata wang asing negara adalah melebihi AS$110 bilion (RM399.68 bilion) dan kadar akaun semasa negara berada dalam lebihan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!