19 Februari 2015



MIRI 18 Feb. - Hasrat tiga sekeluarga untuk menyambut Tahun Baharu Cina tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat dalam kejadian di tingkat bawah Flat Permai Jaya di sini pagi ini.

Tiong Ing Lai, 61, isterinya, Tang Pah King, 46, dan anak mereka Tiang Yong Wui, 14, maut selepas dipercayai terperangkap dan lemas dalam asap tebal ekoran kebakaran yang dipercayai dicetuskan beberapa suspek yang membaling bom petrol kira-kira 1.30 pagi.

Difahamkan, bom petrol itu dibaling di depan rumah mangsa yang dijadikan kedai runcit.

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam lama dan telah menahan empat suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan dalam serbuan berasingan pada pukul 7 pagi dan 11 pagi di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, salah seorang suspek yang berusia 56 tahun mempunyai enam rekod jenayah dan baru sebulan keluar penjara kerana memiliki barang curi sementara tiga lagi suspek tiada pekerjaan tetap.

Menurutnya, berikutan penahanan itu, pihak polis percaya kes berkenaan selesai dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui motif kejadian.

“Kami percaya keempat-empat suspek mempunyai kaitan dengan kejadian itu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan. Mereka kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Tambah Jonathan, mayat kese mua mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserah kepada ahli keluarga.

Katanya, pihaknya sedang menunggu kedatangan pasukan Forensik dari Kuching untuk melakukan siasatan di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufiyan Borhan pula berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.49 pagi memaklumkan kebakaran dan terus mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan Miri ke lokasi kebakaran.

“Ketika tiba, api telah marak dan hampir memusnahkan kesemua struktur rumah. Operasi tamat sepenuhnya pada 4.26 pagi,” kata nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Farhan Sufiyan, rumah itu yang berkeluasan kira-kira 9.1 meter lebar dan 12.19 meter panjang adalah jenis separuh kekal yang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan kantin serta bengkel.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!