10 Februari 2015


Mayat satu-satunya penumpang rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas pesawat Airasia QZ8501 di perairan Selat Karimata, Laut Jawa pada 28 Disember lalu ditemukan dan dikenalpasti oleh pihak berkuasa Indonesia.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, mayat Sii Chung Wei berasal dari Kuching, Sarawak ditemukan beberapa hari lalu, tetapi hanya disahkan pengenalannya hari ini.

“Mayat penumpang Malaysia itu ditemukan beberapa hari lalu tetapi hanya disahkan oleh pihak berkuasa melalui ujian DNA pagi ini,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak Kedutaan Malaysia di sini akan menguruskan mayat tersebut dan menyerahkan kepada waris mangsa di Surabaya esok sebelum diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sarawak, Rabu ini.

Zahrain berkata beliau sendiri akan ke Surabaya menemui waris Sii yang telah lama menunggu di sana, manakala seorang pegawai kedutaan akan dihantar untuk mengiringi mayat Sii sehingga ke Sarawak.

Sii, 56, seorang ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta berada dalam pesawat malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada pagi 28 Disember lepas.

Pesawat itu membawa 162 orang penumpang dan anak kapal. Setakat ini sebanyak 100 mayat telah ditemukan dan pihak berkuasa juga telah menjumpai kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!