17 Februari 2015


Lionel Messi datang ke Malaysia’. Itu khabar angin yang heboh diperkatakan dalam kalangan peminat sukan tanah air semalam bahawa Pemain Terbaik Dunia empat kali, Messi bakal menjejakkan kaki ke negara ini.

Messi dikatakan bakal berkunjung ke Malaysia bersama pasukan kebangsaan Argentina untuk aksi persahabatan menentang skuad bola sepak kebangsaan.

Walaupun belum ada pihak yang mengesahkan perkara itu, namun dipercayai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat mereka baru-baru ini.

Malah, dipercayai FAM sedang mengadakan rundingan untuk menjemput naib juara Piala Dunia 2014 itu.

Jika ia menjadi ke­nyataan, itu bermakna peminat bola sepak boleh tempatan bakal menyaksikan kelibat Messi dan pe­nyerang Manchester City, Sergio Aguero beraksi.

“Argentina pun berminat datang ke Malaysia,” kata sumber FAM, yang ber­ada dalam mesyuarat ketika badan bola sepak itu mengumumkan kehadiran Li­verpool ke negara ini.

Namun setakat ini tiada tarikh sebenar bila Messi dan Argentina akan melawat Malaysia.

Berdasarkan trend semasa, tidak mustahil untuk Argentina menjejak kaki ke Malaysia kerana negara ini sering menjadi pilihan pasukan dan kelab besar untuk mengadakan perlawanan pemanas badan.

Pada Julai ini, skuad Pilihan Malaysia dijangka menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung dua minggu selepas sambutan Hari Raya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menafikan khabar angin Argentina bersetuju untuk menentang Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan.

Katanya, badan bola sepak kebangsaan itu tidak mengeluarkan sebarang surat jemputan kepada Argentina untuk mengadakan aksi persahabatan.

“Saya juga mendapat beberapa panggilan yang bertanyakan tentang perkara ini.

“Berita ini tidak betul kerana FAM tidak mengeluarkan sebarang surat jemputan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Argentina,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Hamidin mengesahkan aksi persahabatan yang dirancang dengan Ivory Coast pada 28 Mac ini di Stadium Perak terpaksa dibatalkan selepas juara Afrika itu tidak berhasrat mahu datang ke Asia pada bulan berkenaan.

“Ivory Coast ada buat pengesahan kepada FAM yang mereka tidak jadi datang ke Asia pada penghujung Mac, jadi perlawanan terpaksa dibatalkan.

“Sebagai ganti, Oman bakal berdepan Harimau Malaya pada 26 atau 27 Mac di Qatar atas permintaan jurulatih, Dollah Salleh walaupun Syria mahu bertemu kita di tempat sendiri,” kata Hamidin lagi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!