12 Februari 2015


Sesetengah daripada agensi dan badan berkanun di Malaysia mengamalkan sistem penamaan bagi memudahkan pengeluaran dana apabila berlaku kematian. Institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi, syarikat insurans dan takaful menyifatkan penama sebagai orang yang diberi kuasa mengeluarkan wang si mati tanpa perlu melalui proses pembahagian mengikut undang- undang pembahagian harta pusaka.

Tujuan penamaan ialah untuk memudahkan proses pengeluaran dana tanpa perlu menunggu Sijil Faraid dan perintah pentadbiran harta pusaka. Penulis difahamkan pengeluaran dana boleh dilakukan seawal dua minggu selepas permohonan dibuat melalui penamaan ini.

Seksyen 23 Akta Undang-Undang Sivil 1956 memberi peruntukan berkaitan penamaan dalam insurans. Peruntukan yang berakar umbi daripada Akta Harta Perempuan Berkahwin (England) 1882 sebenarnya dibuat untuk orang bukan Islam. Ia tidak terpakai kepada orang Islam di Malaysia kerana bagi orang Islam, undang-undang yang mengawal orang Islam dalam hal ini adalah undang-undang Islam. Undang-undang diri bagi orang Islam di Malaysia selain di Wilayah Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Bagi orang Islam terdapat pelbagai kekeliruan terhadap amalan penamaan ini. Ramai beranggapan orang Islam sama seperti bukan Islam apabila dinamakan, beliau berhak mendapat harta apabila penama meninggal dunia. Ini anggapan yang salah dan bertentangan hukum syarak.

Telah timbul banyak pertelingkahan dan salah tafsiran, malah tidak keterlaluan jika dikatakan salah guna terhadap sistem serta amalan penamaan bagi orang Islam di Malaysia. Sebahagian daripada orang Islam masih beranggapan pihak dinamakan berhak mendapat harta si mati walaupun sebenarnya beliau hanyalah dinamakan sebagai pentadbir. Keputusan Persidangan Majlis Raja-Raja Ke-96 pada tahun 1973 memutuskan, orang yang dinamakan hanyalah sebagai wasi. Akibatnya terjadilah insiden menyorok harta, menyembunyikan fakta dan pelbagai alasan diberikan untuk tidak melupuskan harta kepada orang yang berhak menerima iaitu ahli waris.

Oleh yang demikian, terdapat desakan daripada pelbagai pihak untuk memansuhkan amalan penamaan ini bagi orang Islam kerana bercanggah dengan hukum syarak dan mendatang kezaliman. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-7 pada tahun 1973 telah membuat keputusan bahawa kerajaan negeri dinasihatkan membuat pindaan yang sesuai kepada undang-undang supaya harta peninggalan si mati hendaklah difaraidkan dan tidak boleh diambil oleh orang yang dinamakan.

Pada tahun 1978 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-15 memutuskan, orang Islam tidak boleh melantik penama kerana mengikut definisi undang-undang sivil ia bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah. Undangundang itu hendaklah dipinda supaya penamaan dibuat oleh orang Islam adalah tidak sah.

Pada tahun 2001, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa bahawa orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh si mati adalah wasi kepada si mati dan hendaklah membahagikan harta peninggalan si mati kepada waris yang berhak mengikut pembahagian faraid.Malah Majlis Raja- Raja Melayu dalam persidangan kali ke- 117 pada tahun 1980 memutuskan orang Islam tidak boleh membuat penamaan dan peguam negara perlu menggubal undang- undang supaya orang beragama Islam tidak dibenarkan membuat penamaan.

Walaupun terdapat keputusan Majlis Raja-Raja serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang jelas menyatakan penamaan melanggar hukum syarak dan pihak tertentu didesak menggubal undang-undang menghalang orang Islam daripada membuat penamaan, tiada apa-apa tindakan ke arah itu telah dibuat.

Natijahnya, umat Islam terus dibelenggu keresahan dan amalan yang bertentangan hukum syarak ini masih berleluasa. Sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil serius pandangan dan ketetapan yang telah lama dikeluarkan dengan segera memansuhkan undang-undang penamaan bagi orang Islam.

Pada masa sama mesti diadakan mekanisme menghalang orang Islam membuat penamaan. Undangundang legasi penjajah ini hendaklah disesuaikan dengan adat dan kehidupan masyarakat tempatan khususnya orang Islam. Islam bukan sekadar ritual harian, tetapi suatu cara hidup yang lengkap bagi penganutnya.

Dalam Islam orang yang dinamakan itu hendaklahbertindak sebagai wasi kepada harta diterimanya. Wasi

adalah pentadbir atau pemegang amanah yang menjaga harta bagi pihak ahli waris dan hendaklah mengagihkan harta itu kepada ahli waris secepat mungkin jika tiada apaapa halangan wujud.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!