18 Februari 2015


KUALA LUMPUR: Mulai 23 Februari ini, pengguna kenderaan bermotor perlu membayar premium insurans lebih tinggi sejajar pelarasan premium tarif motor di bawah Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu yang diperkenalkan pada 2012.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, rangka kerja itu diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani isu struktur dalam sektor insurans motor menerusi kaedah pelarasan harga secara beransur-ansur tetapi pada masa memastikan orang ramai mampu membeli insurans pada premium yang berpatutan.

Pelarasan premium tarif motor di bawah rangka kerja itu dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun mulai 2012.

Mengikut PIAM dalam kenyataannya hari ini, pindaan terbabit terpakai bagi kereta persendirian, teksi awam dan bas ekspres, manakala kadar untuk lain-lain jenis kenderaan tetap sama.

Mengikut pelarasan diperkenalkan pada 2012 itu, bagi perlindungan pihak ketiga, premium insurans bagi motosikal berkapasiti 110cc akan mengalami kenaikan antara RM1.00-RM3.50 setiap tahun (maksimum 30 sen setiap bulan) dalam jangka masa empat tahun.

Bagi kereta persendirian yang berkapasiti 1,400cc, pelarasan premium adalah antara RM6.00-RM34.00 setiap tahun (maksimum RM2.80 setiap bulan) dalam jangka masa yang sama, manakala bagi kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, kesan daripada pelarasan premium terhadap penumpang kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang dan setiap perjalanan.

Rangka kerja itu akan merintis jalan ke arah pelonggaran tarif sektor insurans motor pada tahun 2016, iaitu apabila kadar premium akan dibezakan mengikut profil risiko kenderaan individu dan lebih berpatutan kepada pemilik kenderaan.

Pemilik kenderaan yang mempunyai pengalaman tuntutan yang baik akan menikmati kadar premium yang lebih wajar berbanding pemilik kenderaan lain yang mempunyai profil risiko yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, PIAM berkata rangka kerja baharu itu adalah langkah positif ke arah menggalakkan sektor insurans liberal dengan langkah selanjutnya akan diambil untuk memperbaiki proses penyelesaian dan tuntutan insurans motor.

"Melangkah ke hadapan industri ini akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi bekerjasama dengan MIROS dan pihak berkepentingan yang lain bagi memupuk cara dan amalan memandu yang baik dalam kalangan semua pengguna jalan raya.

"PIAM juga sudah melaksanakan perkhidmatan Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan (AACC) bagi memberi bantuan kecemasan kepada pemandu yang terbabit dalam kemalangan jalan raya," katanya.

Talian hotline 1300-22-11-88 yang beroperasi 24 jam seminggu menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan melayani pertanyaan tuntutan untuk membantu mangsa kemalangan di seluruh negara.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!