26 Februari 2015


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac depan untuk memberi fokus kepada kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana, kerja pemulihan masih dalam proses untuk dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

"Masih banyak pihak yang patut terima bantuan dan masih tidak menerimanya. Kita jadikan ini keutamaan yang tertinggi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini malam ini.

Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata langkah itu juga bertujuan memastikan perpaduan ummah dapat dikukuhkan.

Walaupun terdapat perbezaan fahaman politik di negeri itu, perpaduan ummah dilihat sebagai agenda yang penting, katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan serupa pernah dibuat BN pada PRK Parlimen Bukit Gelugor pada Mei 2014, "jadi tidak semestinya kita lakukan (bertanding)...lihat pada keadaan."

Najib berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS menang di kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!