1 Februari 2015


Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali akan membuktikan bahawa Setiausaha Agung DAP yang belum di­sahkan, Lim Guan Eng, berbohong berhubung isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam satu kenya­taannya hari ini, beliau berkata, pembuktian itu akan dilakukannya jika Guan Eng menyahut cabarannya kelmarin supaya mereka bersemuka, susulan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut bahawa beliau (Mustafa) tidak jujur dalam isu pelaksanaan pilihan raya PBT.

“Isu sebenar adalah mudah, bahawa saya cabar Guan Eng kerana dia menuduh saya tidak jujur dan saya katakan dia berbohong.

“Isu integriti ini penting untuk menjaga kepenting­an pakatan pembangkang dan ia mesti diselesaikan. Oleh itu, carilah masa yang sesuai dengan ada penyaksian. Saya akan buktikan dia berbohong,” katanya.

Mustafa membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari.

Semalam, Anthony menyifatkan cabaran yang dilontarkan Mustafa itu seolah-olah ingin ‘membakar jambatan’ dengan DAP, malah tindakan tersebut boleh diumpamakan seperti Pas menganggap sekutunya dalam pakatan pembangkang sebagai seteru politik.

Zairil dalam kenyataan melalui laman blognya di www.zairil.com hari ini pula meminta isu ber­kenaan diselesaikan secara dalaman di peringkat majlis pimpinan pakatan pembangkang atau dibawa ke mahkamah.

Baru-baru ini, Guan Eng mendakwa, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mustafa bersetuju dengan hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan pilihan raya PBT ketika mereka dihubungi sendiri oleh beliau melalui te­lefon.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung kenyataan Anthony dan Zairil tersebut, Mustafa berkata, beliau telah membaca kenyataan Anthony dan Zairil.

“Saya dapati kedua-duanya sama ada tak faham isu sebenar atau cuba mengalih isu.

“Ini adalah soal integriti seseorang. Kalau isu ini tidak diselesaikan, dalam keadaan integritinya tercabar sebagaimana saya dituduh tidak jujur, saya tidak layak duduk dalam pimpinan ter­tinggi pakatan pembangkang.

“Begitu juga Guan Eng dalam dia dituduh berbohong, maka dia tidak layak duduk dalam majlis pimpinan tertinggi pakatan,” ujarnya.

Mustafa menegaskan, beliau tidak mahu melibatkan pimpinan Pas yang lain dalam isu tersebut.

“Bagi saya, jalan yang dica­dangkan Zairil agar saya ke mahkamah panjang. Ia tidak akan menyelesaikan isu dengan cepat.

“Kepada Loke (Anthony), dia tidak payah berbelit. Saya tidak perlu cabar orang lain atau UMNO kerana mereka tidak ada kena-mengena dalam isu ini,” katanya.

Terdahulu, ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, Mustafa berkata, Anthony dan Zairil tidak memahami perkara yang menjadi asas cabarannya terhadap Guan Eng.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!