6 Februari 2015


TANJUNG MALIM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dirinya reda, sekiranya keputusan rayuan akhir dalam kes liwat yang akan diketahui, 10 Februari ini tidak memihak kepada dirinya.

Berucap di hadapan lebih 500 penyokong sempena ‘Jelajah Rakyat Hakimi Negara’ di Dataran Berop, Anwar berkata, dirinya sama sekali tidak gentar menantikan keputusan itu meskipun sedar berdepan kemungkinan dipenjarakan dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Dalam keadaan umur sekarang ni, siapa yang sanggup masuk penjara, bebas alhamdulillah, jika dijelkan pun, saya akan terima.

“Tetapi jangan sesekali cuba ugut saya dengan perkara-perkara remeh, kita ada undang-undang dan atas dasar itu, saya sedaya upaya akan tetap lawan,” katanya.

Pada 9 Januari 2012 , Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Namun, Mahkamah Rayuan Pada 7 Mac tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun  selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mendapati Ketua Umum PKR itu bersalah.

Dalam ucapan sama, Anwar turut berazam mahu mengukuhkan kembali hubungan bersama rakan sekutu, Pas dan DAP sebelum keputusan rayuan terakhir diketahui, Selasa depan.

Katanya, melalui mesyuarat yang akan dipengerusikannya sendiri, Ahad ini, beliau mengharapkan hubungan antara tiga parti pakatan itu kembali jernih.

“Yang lepas kita lupakan, masing-masing ada kelemahan, yang penting kena ada kerjasama dan ikut kembali agenda kita seperti sebelum ini,” katanya.

Beberapa pimpinan tertinggi PR negeri hadir antaranya, Pengerusi PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.

Pimpinan PKR seperti Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Agung, Rafizi Ramli dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad juga turut kelihatan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!