13 Februari 2015


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan anak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh bukan perkara yang mengejutkan.

Dr Mahathir secara menyindir berkata: "Mestilah, ia kan parti keluarga...parti keluarga mesti menggantikannya dengan keluarga juga." 

Beliau berkata demikian kepada media pada sidang media selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Dilema Malaysia', anjuran Centre For A Better Tomorrow, di sini, hari ini. 

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan, anak perempuan Anwar, Nurul Nuha, 30, akan dipilih sebagai calon bagi kerusi itu. 

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah Presiden PKR, Anwar pula adalah penasihat parti itu, manakala anak sulung mereka, Nurul Izzah merupakan Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai. 

Selasa lalu, Anwar gagal dalam rayuan akhirnya terhadap sabitan kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Mahkamah itu juga mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan.  

Berikutan keputusan itu, Anwar, 67, berdepan dengan kemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan seterusnya memerlukan pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi kerusi itu.

Sementara itu, ketika mengulas tindakan beberapa kerajaan asing yang mengkritik keputusan mahkamah mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, Dr Mahathir berkata, kerajaan negara berkenaan tidak sepatutnya berasa mereka mempunyai keistimewaan untuk mengkritik keputusan itu.   

"Sepatutnya, mereka mengkritik diri mereka sendiri," katanya. Beberapa negara dilaporkan mengritik keputusan rayuan akhir Anwar oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengenai sabitan kesalahan dan hukuman penjara terhadap ketua pembangkang itu kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.  

Mengenai saranan pihak tertentu agar pentadbiran Presiden Barack Obama menjadikan pembebasan Anwar dari penjara sebagai keutamaannya, Dr Mahathir menambah, pihak yang mempunyai pandangan berbeza juga boleh mengemukakan petisyen balas. 

Terdahulu, dalam ceramah beliau, Dr Mahathir berkata perkongsian kuasa dan ekonomi antara semua kaum merupakan formula terbaik bagi Malaysia untuk melangkah ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.   

Katanya rakyat Malaysia perlu mengamalkan semangat sedia berkongsi kerana semangat itu boleh menjadikan Malaysia lebih berjaya dan makmur.

Mengenai kewujudan kumpulan pelampau di negara ini, Dr Mahathir berkata untuk mencegah perkembangannya, golongan berpendirian sederhana perlu memastikan suara mereka didengari dan kehadiran mereka, dirasai. 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!