23 Februari 2015


Setelah percubaan 15 kali menghubungi Sirul Azhar Umar gagal, telepersidangan yang sepatutnya berlangsung dari Pejabat Agung PAS bersama Datuk Mahfuz Omar ditamatkan.

Ketua Penerangan PAS itu menyatakan bahawa pihaknya telah berhubung dengan individu yang diyakini sebagai Sirul itu melalui pesanan ringkas pada pukul 10.40 pagi tadi.

"Saya menyatakan mengenai nombor telefon yang saya akan guna untuk menghubunginya. Dan mesej itu dijawab 'OK' olehnya," ujar Mahfuz.

Namun, persidangan yang sepatutnya bermula pada jam 11.30 pagi tadi terpaksa ditamatkan sejam kemudian setelah percubaan menghubungi Sirul tidak berjaya.

Sepanjang tempoh itu, Mahfuz diasak soalan daripada media berkaitan motif sidang akhbar, dan pengesahan integriti dan identiti individu yang beliau percaya sebagai Sirul tersebut.

"Sidang media ini sebagai peluang untuk Sirul menjelaskan motif pembunuhan. Kita mahu tahu apa yang berlaku," ujar beliau.

Mahfuz pada Jumaat ini akan mengumumkan tarikh untuk pihaknya membuat lawatan ke Australia bagi menemui Sirul.

Nama misi untuk bertemu Sirul yang bakal disertai keluarga terdekatnya itu juga akan diumumkan.

Sirul yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!