5 Februari 2015


PONTIAN - Seramai 211 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Serkat di sini, terpaksa makan di merata-rata tempat ketika waktu rehat berikutan kemudahan bangku dan meja di kantin sekolah tidak mencukupi.

Kebanyakan murid terbabit terpaksa makan di lantai dan ada yang makan di tepi longkang.

Difahamkan, masalah kekurangan bangku dan meja sudah berlarutan sejak dua tahun lalu di mana bangku dan meja sedia ada sudah tidak selamat digunakan dan perlu diganti.

Ibu murid, Sawiah Muti, 36, berkata, dia sedih melihat murid-murid makan dan minum di tempat tidak sepatutnya.

Dia turut kesal kerana sekolah itu dahulunya mempunyai kemudahan kerusi dan meja mencukupi sudah berubah keadaan.

“Setiap kali waktu rehat di sekolah, saya akan datang menemani anak yang kini di darjah satu.

“Jika sebelum ini, saya hanya mendengar mengenai keadaan kantin sekolah, kini saya melihat sendiri keadaan murid terpaksa makan di lantai dengan keadaan yang menyedihkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Justeru, dia berharap agar kemudahan bangku dan meja dapat diberikan segera untuk keselesaan murid ketika waktu rehat.

Bagi Ghazaley Ayob, masalah kekurangan bangku dan meja tidak sepatutnya wujud lebih-lebih lagi ketika sekolah sudah memulakan sesi persekolahan.

“Sekarang sudah Februari, sepatutnya masalah bangku dan meja tidak cukup sudah tidak wujud kerana pada masa sekarang murid dan guru sibuk dengan aktiviti pembelajaran mereka.

“Tindakan awal memastikan kemudahan infrastruktur perlu diambil pada cuti sekolah akhir tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK) Jamal Ahmad berkata, pihak sekolah telah membuat aduan kepada pihak berkaitan seperti Pejabat Pelajaran daerah berhubung masalah berkenaan.

“Malah Pejabat Pelajaran juga sudah mengadakan lawatan dua bulan lalu bagi meninjau masalah yang berlarutan sejak dua tahun ini.

“Kami warga sekolah berharap masalah ini dapat diselesaikan bagi keselesaan murid,” katanya.

Sementara itu, Adun Kukup, Suhaimi Salleh berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut kepada Pegawai Pelajaran Daerah dalam mesyuarat tindakan daerah yang akan diadakan dalam masa terdekat.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!