13 Februari 2015


Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara Muhammad Hafiz Hashim terkejut kerana tidak ada wakil perseorangan lelaki dalam undian utama Seluruh England 2015, berlangsung bulan depan.

Menurutnya, situasi itu agak bahaya jika ditakdirkan Chong Wei Feng, Muhamad Arif Latif dan Zulfadli Zulkifli terkandas di pusingan kelayakan.

“Tidak akan ada wakil negara bagi perseorangan lelaki jika mereka terkandas di pusingan kelayakan,” katanya ketika ditemui di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Jelasnya, peminat tidak akan pandang pemain yang hanya beraksi di pusingan kelayakan semata-mata kerana tumpuan terarah kepada undian utama.

“Saya pernah jadi juara (2003) begitu juga Datuk Lee Chong Wei, kalau wakil negara tidak ada dalam undian utama memang nampak macam pelik. Bukan saja rakyat Malaysia, tapi peminat negara lain juga tertanya-tanya.

“Chong Wei tidak boleh bermain sebab kes doping, tapi saya masih harap Arif, Zulfadli dan Wei Feng mampu melepasi pusingan kelayakan sekali gus masuk undian utama Seluruh England,” katanya.

Ditanya mengenai isu pemain meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hafiz berkata, badan induk itu perlu bertindak kerana pemain yang ada sekarang antara yang terbaik di Malaysia.

“Kalau mereka keluar siapa lagi akan tinggal dalam BAM. Mereka perlu kaji agar perkara ini tidak berlaku secara berterusan,” katanya.

Hafiz yang bergandingan bersama Mohd Razif Latif dalam acara beregu lelaki di Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur 2015 semalam memperoleh kemenangan percuma pusingan pertama selepas Vountus Indra Mawan yang bergandingan bersama Winson Neo Vui mengalami kecederaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!