1 Februari 2015


SHAH ALAM – Tidak masalah jika semua pihak bersatu dan menjadikan musibah banjir di Kelantan itu sebagai satu titik permulaan dalam mengukuhkan perpaduan di negara ini.

Ahli Akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, ahli politik yang beragama Islam wajar melupakan dendam lama demi untuk kebaikan masyarakat Islam di negara ini.

"Kita sudah boleh bincang untuk menyatukan umat Islam contohnya menyatukan Umno dan Pas, sampai bila kita hendak bergaduh, sampai bila kita hendak ingat sejarah lampau, sampai bila kita hendak melihat Umno itu sebagai musuh, sampai bila kita melihat musuh itu sebagai kawan dan saudara seagama itu kita lihat sebagai musuh.


"Saya pelik politik Malaysia, kita sepatutnya bersatu hati, musuh sebenar-benarnya ialah apa jua perkara baik yang kita hendak laksanakan, terang-terangan dia lawan," katanya kepada Sinar Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata lagi, sudah tiba masanya umat Islam tampil ke hadapan dan tidak perlu lagi merendah diri ketika menghulurkan bantuan ketika negara dilanda bencana.

"Kadang-kala nama ini penting, sebab itu orang tidak nampak di mana sumbangan orang Islam kita sebab kita terlampau menyorok.

"Betul sedekah itu perlu disorokkan kerana tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima) tetapi kadang-kala dalam perkara tertentu kita kena tunjukkan, kalau tidak orang tidak tahu," ujarnya.

Dalam pada itu, Ridhuan juga mendakwa pemimpin politik lebih banyak berpolitik dan mementingkan kuasanya demi kepentingan diri sendiri berbanding umat Islam lain.

"Saya amat hairan kenapa dan mengapa kita hari ini, ketika umat Islam ditimpa bencana banjir, kita masih membawa unsur-unsur politik dalam menghitung serta mengambil kira masa depan umat Islam.

"Saya kira politik sangat merugikan bukan sahaja negara kita tetapi dalam masa sama bangsa kita dan agama kita. Sepatutnya di saat ini kita bersama, kita lupakan diri, latar belakang kita dan politik kita," dakwanya.

Beliau berkata, umat Islam sewajarnya insaf dan malu dengan sikap yang ditonjolkan bukan Islam yang datang membantu tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

"Ini bukan seruan bangsa, ini seruan agama, ini anjuran Quran, ini anjuran Islam, dan mengapa perkara ini masih berbelah bahagi, masih lagi melihat cop bantuan beras itu siapa dan sebagainya.

"Lupakan soal cop, lupakan soal gambar, asalkan orang datang membantu dengan niat baik dan sebagainya, terima saja.

"Kenapa kita hendak mempertikaikan niat orang, mana boleh kita menyelami hati mereka, ini masalah umat Islam hari ini, perkara kecil diperbesarkan akhirnya matlamat baik tidak tercapai," katanya lagi.



0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!