1 Februari 2015

ANTARA penumpang yang terkandas di Stesen Pudu Sentral.
Kuala Lumpur: Lebih 400 penumpang bas terkandas perjalanan di Stesen Pudu Sentral di sini, selepas menjadi mangsa ‘ulat’ tiket yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, kebanyakan ‘ulat’ tiket terbabit sempat menyerahkan kembali wang tiket dibayar mangsa sebelum menghilangkan diri.

Akibatnya kebanyakan mangsa terpinga-pinga terkejut selain gagal mendapatkan perkhidmatan bas ekspres sehingga jam 4 pagi semalam.


Sumber berkata, sebanyak 10 bas ekspres termasuk bas pelancong dan bas sekolah dikesan melakukan pelbagai kesalahan oleh pihak SPAD dalam operasi berakhir awal pagi semalam.

“Dua kesalahan utama dilakukan adalah beroperasi tidak mengikut kelas lesen dan tidak mematuhi tahap prestasi perkhidmatan.
“Kebanyakan ‘ulat’ tiket ini menyedari kehadiran pihak SPAD sebelum menyerahkan semula wang pelanggan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan pelanggan terkandas selama beberapa jam sementara mencari perkhidmatan bas lain ataupun menunda perjalanan mereka.

Salah seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Helmi, 26, berkata, dia terkejut apabila penjual tiket bas itu terburu-terburu menyerahkan wang kepadanya semula.

Menurutnya, penjual tiket itu memintanya mencari syarikat bas ekspres lain sebelum beredar.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi. Malah ratusan penumpang lain turut menjadi mangsa,” katanya yang mahu pulang ke kampungnya di Kedah.
Katanya, dia terpaksa menunda perjalanannya apabila tiket bas sudah habis dijual semalam.

“Saya tidak kisah jika terpaksa menunda perjalanan asalkan bas ekspres yang digunakan kelak selamat dan mengikut peraturan ditetapkan SPAD,” katanya.




0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!