23 Februari 2015


Mohd Saiful Bukhari Azlan bertegas tidak akan mengulangi apa juga keterangan yang telah diberikan di mahkamah dalam mana-mana forum.

Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, keterangan yang diberikan di dalam mahkamah sebelum ini telah direkodkan sebagai rekod keterangan dan rekod prosiding perbicaraan.

"Justeru pada hemat saya, tidak perlu lagi saya mengulanginya di luar mahkamah.

"Tertuduh juga telah disabitkan, dan sedang menjalani hukuman," katanya dalam satu kenyataan eksklusif kepada Astro AWANI.

Mohd Saiful bagaimanapun berkata, pihak-pihak yang membuat kupasan berkenaan 'alasan penghakiman' mempunyai hak untuk melakukannya, sebagaimana hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang.

Beliau juga percaya prosiding jenayah ke atas Anwar, telah pun berakhir dan semua pihak - pengadu dan tertuduh - telah diadili dengan sebaiknya oleh institusi kehakiman di Malaysia.

"Saya berpendapat mahkamah telah memberi ruang sepenuhnya kepada kedua-dua pihak dan mengadili kes ini dengan sebaiknya mengikut undang-undang," tulis Mohd Saiful.

Katanya, setelah tujuh tahun bergelumang dengan kes tersebut, beliau akan memberi perhatian
kepada mencari nafkah untuk menampung keluarga.

"Walaupun sukar, saya percaya rezeki itu dari Allah, Allah tidak zalim," katanya.

Mohd Saiful mengulangi bahawa terdapat pihak yang mengambil berat kes itu bukan untuk
membela dirinya, sebaliknya hanya untuk kepentingan peribadi.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak yang tidak percaya pada kes tersebut akan terus mengecam dirinya walau apa pun bukti dibentangkan.

"Tidak mengapalah, saya sentiasa doa semoga Allah buka hijab pada mereka, diperlihatkan kebenaran.

"Saya tidak terkesan dan simpan dendam," katanya lagi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!