Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Zaiton Othman andai penjelasan yang diberikan oleh Pesuruhjaya Sukan itu berhubung isu perlembagaan MHC didapati tidak munasabah.
Zaiton sebelum ini mendakwa, perlembagaan baharu MHC tidak boleh diguna pakai kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, sekali gus menyebabkan Nur Azmi mungkin tidak dapat bertanding bagi jawatan timbalan presiden badan sukan berkenaan dalam mesyuarat pemilihan esok.
Malah Nur Azmi berkata, banyak perkara perlu dijelaskan oleh pihak Zaiton, selain isu tidak cukup kuorum yang didakwa menjadi punca perlembagaan baharu itu tidak terpakai.
“Saya sudah dapatkan nasihat peguam dan bersetuju bahawa Pesuruhjaya Sukan ada melakukan kesilapan yang membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya.
“Dalam hal ini, banyak perkara yang tidak jelas, umpama rumah siap tetapi pahat masih berbunyi. Saya juga ada bukti kukuh mengenai kesilapan yang dilakukan oleh Zaiton sebagai Pesuruhjaya Sukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin Zaiton memberitahu, beliau akan menjelaskan sendiri kepada MHC berhubung isu perlembagaan baharu yang tidak boleh diguna pakai dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) esok selepas mendapati timbul pertikaian berhubung perkara tersebut.
Isu itu timbul pada 6 Februari lalu apabila Timbalan Presiden MHC, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menyeru semua pihak dalam badan induk tersebut supaya kembali mematuhi perlembagaan asal iaitu sebelum dipinda pada Oktober tahun lalu.
Mengikut perlembagaan asal, jawatan timbalan presiden mesti disandang oleh wanita seandainya presiden adalah lelaki.
Malah, Raja Noora Ashikin turut mempersoalkan mengapa jawatan yang disandangnya sejak penggabungan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dan Persekutuan Hoki Wanita Malaysia (PHWM) itu terlalu mahu direbut pihak tertentu sehingga tidak lagi mematuhi arahan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sebelum ini.