2 Mac 2015


Kira-kira 3,000 hingga 3,500 kes baharu jangkitan HIV direkodkan setiap tahun sejak 2002 dengan gejala seks bebas menjadi ancaman terbesar terhadap peningkatan jangkitan virus itu dalam kalangan remaja sekarang.

Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia, Jasmin Jalil berkata, berikutan perkembangan yang membimbangkan itu, pihaknya sedang mempergiatkan usaha me­ngadakan kerjasama dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di bawah program Kelab Reben Merah untuk mendekati golongan remaja bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap HIV/AIDS.

Menurutnya, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan sehingga Disember 2013, sebanyak 101,672 rakyat negara ini dikesan dijangkiti virus HIV dengan 1,076 daripada­nya adalah kanak-kanak yang berusia 13 tahun ke bawah.

Beliau berkata, kebanyakan kanak-kanak itu dijangkiti virus HIV daripada ibu sejak dalam kan­dungan disebabkan ibu mereka tidak mengambil sebarang ubat semasa hamil untuk mengelakkan jangkitan.

“Mengikut statistik tersebut, pada 2013 sahaja sebanyak 50 kanak-kanak dikesan dijangkiti virus HIV selain 52 orang pada 2012 dan 65 orang pada 2011.

“Sehingga Disember 2013 juga sebanyak 16,340 kematian disebabkan jangkitan HIV dicatatkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kayuhan Amal AIDS anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan AIDS Malaysia di Taman Tasik Cyberjaya di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Jaringan, Industri dan Masyarakat) UKM, Prof. Dr. Imran Ho Abdullah.

Program yang disertai seramai 250 peserta itu dianjurkan bagi mengutip dana untuk membantu golongan HIV/AIDS di negara ini dan sebanyak RM5,030 berjaya dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Yayasan AIDS Malaysia.

Menurut Jasmin, sejak 2010, sebanyak 70 peratus daripada kes baharu yang dikesan melibatkan wanita yang dijangkiti hasil hubungan seksual dengan suami yang positif HIV dan nisbah terkini antara lelaki dan perempuan adalah empat lelaki bersamaan seorang perempuan (4:1) berbanding pada 2002 iaitu 10:1.

“Jika dahulu kebanyakan penghidap HIV dijangkiti melalui perkongsian jarum dalam kalangan penagih dadah tetapi kini seks bebas ancaman terbesar terhadap remaja,” ujarnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!