11 Mac 2015


Sehari selepas menyatakan tidak akan me­­­neruskan run­dingan perjanji­an penstrukturan perkhidmatan in­dus­tri bekalan air di Selangor de­ngan Kerajaan Pusat, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali hari ini me­ngu­bah pendiriannya apabila bersedia membuka pintu rundingan berhubung perkara tersebut.

Mohamed Azmin mengesahkan pihaknya terbuka untuk berbincang berhubung pajakan tanah yang terlibat dalam rancangan penstrukturan air Selangor.

Pendirian tersebut dibuat oleh be­liau selepas Menteri Tenaga, Tek­­nologi Hijau dan Air, Datuk Se­ri Dr. Maximus Ongkili memberi penjelas­an bahawa aset tanah yang akan terlibat dalam perjanjian tersebut hanya akan diambil alih selama 45 tahun oleh Kerajaan Persekutuan sebelum diserahkan semula kepada kerajaan Selangor sebaik tempoh perjanjian itu tamat.

“Untuk pajakan kita boleh bincangkan,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin ber­­kata, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan meneruskan rundingan perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air di negeri itu dengan Kerajaan Pusat.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, berdasarkan perjanjian yang dimeterai, tidak dinyatakan secara spe­sifik berkenaan tanah, sebaliknya hanya dinyatakan sebagai aset.

“Peruntukan itu samar-samar, ha­nya menyatakan aset yang boleh dipindahkan dan kekal, tidak sebut tanah secara spesifik. Sedangkan kami dalam perjanjian itu nyatakan secara spesifik aset-aset kami,” katanya.

Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sekiranya berlaku pertambahan amaun daripada ke­seluruhan RM14.9 bilion perjanjian berkenaan sekiranya perbincangan berkenaan pajakan itu dilaksanakan.

“Kalau ada cadangan baharu hendak bincang, mungkin kita perlu nilaikan tanah,” katanya.

Pada sidang akhbar pada sebelah pagi, Mohamed Azmin berkata, perjanjian penstrukturan air Sela­ngor ditamatkan kerana Kerajaan Pusat mahu menuntut tanah kerajaan negeri itu yang akan dilalui paip saluran air terbabit.

Katanya, jika Kerajaan Pusat bersetuju mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik Selangor dan tidak membuat tuntutan bercanggah dengan semangat perjanjian yang termeterai, maka kerajaan negeri bersedia untuk berbincang ke arah mencapai persetujuan bagi manfaat seluruh pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!