24 Mac 2015


Mungkin ramai tidak tahu Bukit Malawati di sini, dahulunya adalah pusat pentadbiran bagi kerajaan Kesultanan Selangor, sebelum ia berpindah di Jugra, Banting dan Bandar Diraja Klang, sehingga sekarang.

Berdasarkan sejarah, sultan pertama yang bersemayam di Istana Bukit Malawati ialah Sultan Salahuddin Syah, iaitu pada tahun 1743, diikuti Sultan Ibrahim (1778) dan Sultan Muhammad (1826).

Mengikut asal-usul nama Kuala Selangor, ia dikatakan diambil daripada nama seekor langau. Kisahnya bermula apabila seorang pahlawan dari Melaka yang dalam perjalanan ke utara singgah di satu kawasan untuk berehat selepas negerinya dikalahkan Portugis.

Pahlawan itu yang keletihan kemudian terlelap di bawah sebatang pokok, sebelum datang seekor langau mengelilingi kepalanya.

Walaupun pahlawan itu cuba memukul langau berkenaan berkali-kali, serangga itu tetap berjaya mengelak. Ketika itu, timbul di fikiran pahlawan terbabit bahawa dia tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana pahlawan, namun gagal membunuh seekor langau.

Bermula dari peristiwa berkenaan, dia berhasrat untuk menetap di kawasan itu dan menamakannya se (satu) langau, kemudian bertukar menjadi Kuala Selangor.

Kisah ini ada persamaan dengan cerita asal Singapura yang bermula daripada perkataan Singa. Begitu juga dengan pokok Melaka yang membawa kepada nama Melaka.

Pendapat lain pula mengatakan nama Selangor berasal daripada pokok mentangau, iaitu sejenis kayu laut dan masih boleh didapati di pinggir Sungai Selangor sehingga kini.

Di Kuala Selangor, terdapat sebuah busut Malawati, iaitu kawasan yang menjadi tumpuan orang luar untuk berlaga ayam dan disebabkan ramai yang berkunjung ke busut ini, ia kemudian diberi nama Bukit Malawati.

Namun, bagi penulis buku Sejarah Kuala Selangor, Datuk Yusoff Hassan, ada nada kekecewaan yang diluahkan apabila melihat keadaan bukit yang menjadi peninggalan sejarah negara itu, seperti `hidup segan, mati tidak mahu'.

Beliau berkata, sikap acuh tidak acuh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyebabkan warisan bangsa Melayu yang tercatat di Bukit Malawati semakin dilupakan, kerana masyarakat lebih diberi pendedahan mengenai sejarah Kota A Famosa di Melaka.

Yusoff berkata, atas faktor itu, tidak hairanlah jika ramai tidak tahu mengenai kewujudan bukit bersejarah itu, sedangkan pada zaman dahulu, ia menjadi tumpuan kerana banyak kapal yang membawa orang besar berlabuh di sini, berikutan lokasinya yang menghadap Selat Melaka.

"Saya sedih kerana persepsi orang sekarang hendak datang ke Bukit Malawati sebab hendak melihat telatah lotong dan kera yang jinak serta manja.

"Kenapa persepsi ini timbul? Mungkinkah sejarah kegemilangan Melayu ini akan luput akhirnya?" katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!