31 Mac 2015


Selepas 13 tahun menabur bakti bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama badan induk sukan badminton kebangsaan itu.

Sebelum ini run­di­ngan berkaitan kontrak kejurula­tihan berlangsung positif dengan BAM bersetuju dengan permintaan Rashid agar kesemua jurulatih diberikan kenaikan gaji di dalam kontrak baharu yang akan ditawarkan kepada mereka.

Namun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya setelah meneliti butiran kontrak baharu yang ditawarkan oleh BAM.

Menurut Rashid, di dalam kontrak baharu itu BAM meletakkan syarat ke atas jurulatih iaitu mereka perlu melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang disifatkannya terlalu tinggi dan membebankan.

Katanya, syarat itu bakal membuatkan jurulatih berdepan situasi kerja yang sangat menekan untuk menepati (KPI) yang ditetapkan.

“Saya rasa sasaran untuk jurulatih adalah sangat keterlaluan, jadi saya ambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan esok (hari ini) adalah hari terakhir saya bersama BAM.

“Tekanan memang tinggi dan saya melihat KPI yang ditetapkan adalah sangat keterlaluan.

“Saya juga sudah tidak rasa keseronokan bekerja dan saya percaya ramai yang tidak berpuas hati dengan kontrak yang ditawarkan tetapi yang saya tahu, hanya saya seorang sahaja yang tidak sambung kontrak,” katanya ketika dihubungi.

Rashid membuat keputusan itu selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Tenikal, Morten Frost Hansen di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini semalam.

Masalah berkaitan kontrak sebelum ini menjadi masalah utama apabila hampir kesemua jurulatih negara termasuk Rashid, Tey Seu Bock, Wong Tat Meng, Pang Cheh Chang, Rosman Razak, Jeremy Gan dan Wong Pei Tty tamat pada Di­sember lalu dan mereka hanya diberikan lanjutan kontrak sementara hingga hari ini.

Bekas pemain kebangsaan itu kemudian menyuarakan hasrat agar setiap jurulatih diberikan kenaikan gaji di dalam kontrak baharu yang akan diberikan kepada mereka dan perkara itu kemudiannya dipersetujui selepas Frost membawa usul itu ke dalam mesyuarat ahli majlis BAM minggu lalu.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menyatakan tawaran kontrak bersama kenaikan gaji itu akan di­sertakan syarat KPI dan pencapaian setiap jurulatih akan dinilai setiap enam bulan.

Keputusan yang dibuat Rashid menyaksikan Frost kekurangan seorang jurulatih untuk bahagian perseorangan dan kemungkinan tugasan yang dipikul Rashid seakan digalas oleh Seu Bock atau Hendrawan lepas ini .

Mengulas mengenai percangan selepas ini, Rashid memberitahu, dia masih belum memikirkan hala tujunya.

Katanya, buat masa sekarang dia mahu berehat seketika sebelum mencari peluang pekerjaan baharu bersama kelab-kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Dia bagaimanapun berterima kasih kepada BAM dan para pemain kebangsaan kerana memberi peluang untuk bersama-sama menaikkan prestasi sukan badminton negara.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!