13 Mac 2015


JOHOR Darul Takzim (Johor DT) muncul selaku kelab bola sepak Asia pertama yang menjalin kerjasama dengan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund (BVB) dalam usaha memajukan lagi sukan bola sepak di negeri ini.

Jalinan kerjasama itu ditandatangani Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran BVB, Carsten Cramer di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru semalam.

Menurut Tunku Ismail, pihaknya bersyukur dan teruja dengan jalinan kerjasama yang telah dimeterai antara dua kelab tersebut kerana BVB merupakan kelab bertaraf dunia di dalam aspek pembangunan bola sepak.

“Saya berbesar hati dengan kerjasama jangka masa panjang ini dan teruja untuk melihat masa hadapan anak-anak Johor dalam sukan bola sepak tanah air.

“Sasaran kerjasama ini bukan sekadar kejayaan yang dilakar kelab, tetapi lebih daripada itu iaitu usaha pembangunan bola sepak pada pe­ringkat akar umbi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Jalinan Usaha Sama JDT dan BVB di Johor Bahru semalam.

Turut hadir Ketua Pembangunan Belia BVB, Edwin Boekamp; jurulatih BVB, Andreas Barth dan legenda bola sepak BVB, Karl-Heinz Riedle.

Jalinan usaha sama antara kedua-dua kelab itu membabitkan perkongsian kepakaran, maklumat latihan, taktikal, pertukaran pemain serta perlawanan persahabatan yang di­jang­ka diadakan pada Julai nanti.

Turut diadakan sesi latihan ringkas bersama seramai 20 anak-anak yatim dari Asrama Kebajikan Al-Rayyan bersama jurulatih dari BVB.

Sementara itu, Cramer memberi­tahu, pihaknya bersetuju menjalin kerjasama dengan kelab Harimau Selatan itu kerana semangat cintakan bola sepak yang dimiliki pihak pengurusan Johor DT.

“Terdapat banyak persamaan antara BVB dan Johor DT, seperti rasa cinta terhadap sukan ini, kehendak yang kuat untuk pembangu­nan peringkat akar umbi dan so­ko­ngan padu ditunjukkan kelab pe­­nyokong.

“Saya rasa buat waktu ini, tiada kelab lain yang berjaya menarik minat kami untuk menjalin kerjasama di rantau ini selain Johor DT,” kata­nya yang sempat bergurau mengatakan perkara yang tidak digemarinya berkenaan Johor DT adalah warna biru yang diguna pakai kelab itu.

Dortmund ketika ini berada di tangga ke-10 Bundesliga dengan mengutip 29 mata, hasil 24 perlawanan menerusi lapan kemenangan dan lima seri.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!