31 Mac 2015


Ketika ini penerbit, pengarah dan penulis skrip dilanda sindrom “korporat.” Kisah-kisah anak muda Melayu kaya mempunyai empayar korporat diperagakan dalam hampir semua saluran yang mempunyai slot drama Melayu. Tapi gambaran yang diberikan tidak lebih sebuah fantasi yang menerbangkan penonton Melayu di alam khayalan.

Drama-drama begini sangat memalukan. Memalukan orang Melayu yang dunia korporatnya hanya bercinta, cemburu, iri hati, mak bapa yang kaya tapi dungu. Benarkah orang korporat Melayu dungu macam dalam drama Melayu? Mana ada. Sebahagian besar penerbit, pengarah dan penulis skrip drama Melayu banyak temberang dan mengarut.

Korporatlah sangat. Memang memalukanlah. Siti percaya drama begini langsung tidak membina iltizam orang Melayu untuk kaya. Sebab orang Melayu korporat dalam drama Melayu akhirnya jadi haprak. Kalau tak percaya sila tonton. Stesen televisyen pula sangat materialistik, drama haprak pun disiarkan kalau menguntungkan.

Hari ini jangan haraplah nak cari drama macam Cikgu Limau Kasturi karya Allahyarham Zain Mahmud. Dalam drama ini Allahyarham Harun Salim Bachik memberikan lakonan yang terbaik. Drama ini menjadi hebat kerana ia membawa pemikiran besar. Drama sekarang kosong macam belon.

Kalau sekarang awal-awal lagi penerbit menolak kisah-kisah kemanusian di kampung-kampung. Mana tidaknya semua nak korporat, konon.

Siti difahamkan Cikgu Limau Kasturi sebuah kisah benar di Gua Musang. Watak guru dalam drama ini diangkat daripada seorang guru yang pernah bertugas di kampung itu. Harun Salim Bachik menghidupkan watak guru yang terpaksa berdepan realiti hidup di Kampung Limau Kasturi.

Kepayahan berada di sekelilingnya. Di dunia baharu, dia berdepan dengan anak bangsa yang menagih kemajuan dan pendidikan. Drama ini mengingatkan kita bahawa guru sebagai penjana masyarakat berpendidikan, sanggup menempuh segala macam kesukaran melampaui kerjayanya sebagai guru.

Demikianlah sebuah drama kecil dengan latar sosialnya yang semacam tersingkir memberi kesan yang besar. Cikgu Limau Kasturi lari daripada segala macam imej korporat yang dibuat-buat dalam drama yang dilonggokkan kepada penonton sekarang ini.

Bagi Siti, penonton kita ketandusan dengan drama-drama yang menyingkap realiti sosial seperti ini. Banyak sangat riuh rendah dan kilau kemilau serta korporat yang setengah masak. Tak ada maknanya kemajuan teknologi pembikinan drama kalau pemikiran penerbit, pengarah dan penulis skrip lapuk dan jumud. Sekarang tambah satu lagi, penulis novel picisan yang diadaptasi jadi drama bersiri.

Penerbit, pengarah dan penulis skrip sekarang tidak malukah kepada kemampuan orang sebelum ini menghasilkan drama yang baik? Tapi mereka ini mana ada rasa malu, berbangga adalah. Sepatutnya mereka menyesal dan menghantuk kepala ke dinding kerana menghasilkan drama-drama memalukan bangsa.

- Siti Jarum

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!