10 Mac 2015

Isteri Pelakon dan pelawak terkenal, Allahyarham Harun Salim Bachik, Suriati Mohd Nor di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombak di sini hari ini.

Sekalipun lebih empat tahun disahkan menghidap asma, pelawak terkenal, Allahyarham Harun Salim Bachik, 56, dikatakan sering menyorokkan rasa sakitnya jika diserang penya­kit itu terutama ketika sedang me­lakukan kerja-kerja seninya.

Juara Bintang Mencari Bintang (BMB) musim pertama, Achey yang juga anak didik arwah berkata, semasa menyertai program realiti itu suatu ketika dahulu, pernah beberapa kali dia melihat Harun tercungap-cungap, tetapi dinafikan oleh pelakon filem My Spy itu bahawa dia sedang sakit.

“Seperti biasa, saban minggu kami akan berlatih untuk persembahan mingguan. Dalam tempoh masa yang singkat itu, kadang-kadang ia mengerah kudrat kami untuk bekerja melebihi masa agar segalanya berjalan lancar.

“Disebabkan itu, abang Harun kadang-kadang tak cukup tidur dan keletihan. Apabila berlaku situasi begitu, mulalah nampak arwah termengah-mengah. Bagaimanapun dia cuba menyorokkan rasa sakitnya supaya sesi latihan tidak terganggu,” ujarnya yang hadir bertongkat selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika menyertai sukan ekstrem Motocross baru-baru ini.

Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim disahkan meninggal dunia akibat asma ketika berhenti berehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Bukit Merah, Perak semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur petang semalam.

Sementara itu, pasangannya dalam kum­pulan Boboi, Afdlin Shauki turut sependapat dengan Achey apabila menyifatkan rakan baiknya itu sangat berhati mulia kerana lebih mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri.

“Saya memang tahu dia ada penyakit.

“Jika dia berasa letih, dia hanya minta untuk rehat seketika dan kembali semula menyambung latihan selepas berasa lega. Tidak pernah sekali arwah menjadikan masalah kesihatan untuk mengelak daripada menjalani latihan atau sebarang aktiviti melibatkan kerja,” jelas Afdlin yang begitu sebak menahan rasa sedih atas kehilangan sahabat yang disifatkan sebagai legenda seni tanah air itu.

Achey dan Afdlin ditemui sejurus upacara pengebumian jenazah Allahyarham Harun di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombak, di sini hari ini.

Antara rakan artis lain yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Datuk Rosyam Nor, Datuk Hattan, Datuk Yusof Haslam, A. Galak, Ako Mustapha, Dira Abu Zahar, Ellie Suriaty, Vanidah Imran, Zed Zaidi, Imuda, Awie Wings, Den Wahab, Hans Isaac, Azza Zawari, S. Sahlan dan Shamsul Ghau Ghau.

Allahyarham Harun meninggalkan seorang balu, Suriati Mohd. Nor serta dua anak, Hakeem Sufy Al-Rashid, 14, dan Siti Hazeera Sofea, 12.

Sementara itu, hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Martina Ahmad, 53, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Syafiq Al-Rashid, Danial Al-Rashid, Ikram Al-Rashid dan Zikry Al-Rashid.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!