31 Mac 2015


Isu pada kali ini adalah mengenai bunyi telefon bimbit ketika solat. Sebenarnya bunyi deringan telefon bimbit ketika solat adalah di antara perkara yang mengganggu solat dan mengganggu ketenangan dan kekhusyukan serta fokus dalam solat. Tidak kira sama ada kita solat bersendirian ataupun berjemaah.

Kalau kita solat bersendirian ia akan mengganggu solat kita tetapi kalau solat berjemaah ia akan mengganggu solat ramai orang.

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian kerana telefon bimbit adalah teknologi baru dan tiada hukum yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan Hadis tetapi ada hukum tentang mengganggu orang yang sedang solat.

Kalau kita perhatikan di pintu-pintu dan dinding masjid tertera poster atau peringatan tentang perlunya mematikan telefon bimbit. Jika kita solat bersendirian adalah perlu untuk mematikan telefon terlebih dahulu atau letakkan ia dalam nada senyap. Biasakan dengan tindakan ini. Lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.

Kita perlu ingat bahawa tiada perkara yang lebih penting selain daripada solat kita. Sebab itulah apabila solat hendaklah memilih tempat dan keadaan yang amat sesuai untuk solat.

Tetapi bila kita telah memilih tempat solat yang tenang kita diganggu oleh bunyi telefon kita sendiri, ia akan mengurangkan fokus dan kekhusyukan kita dalam solat dan apabila ia berterusan dalam masa yang lama maka hilang teruslah fokus kita dalam solat.

Berdosa kerana ganggu solat

Apabila kita solat berjemaah maka akan lebih ramai orang yang akan terganggu dengan bunyi telefon bimbit kita. Hukum mengganggu orang yang bersolat adalah haram. Ini berdasarkan hasid Nabi s.a.w yang bermaksud :

“Barang siapa yang makan bawang putih, maka jauhilah masjid-masjid kami”:- Hadis riwayat Al Bukhari

Dalam hadis ini larangan nabi bukannya bunyi tetapi adalah bau mulut yang boleh mengganggu orang lain. Kalau bau mulut pun dilarang masuk ke masjid apa lagi kalau bunyi. Malah bacaan al-Quran yang kuat juga dianggap mengganggu para jemaah.

Sabda Nabi s.a.w;  “Setiap kamu hendaklah bertutur secara peribadi dengan tuhan Mu justeru janganlah mengganggu orang lain orang lain dengan meninggikan suaranya semasa membaca al-Quran”:- Riwayat Al Bukhari.

Ini bermaksud semua aktiviti yang mengganggu jemaah dalam solat adalah dilarang, walaupun jemaah itu membaca al-Quran dengan suara yang kuat kerana boleh mengganggu orang lain.

Apabila telefon bimbit kita berbunyi maka wajiblah mematikannya dengan segera. Persoalannya, bolehkah mematikan telefon bimbit dalam solat? Jawabnya boleh asalkan mematuhi peraturan dalam fikah. Jika dalam mazhab Syafie tidak boleh bergerak dua kali berturut-turut.

Usahakanlah supaya dapat mematikan telefon bimbit kerana jika kita mengganggu orang dalam solat maka berdosalah kita, sedang solat mendatangkan pahala.

Nasihat saya kepada para imam juga seharusnya memperingatkan kepada para jemaah supaya mematikan terlebih dahulu telefon bimbit mereka sebelum solat. Ini adalah untuk kebaikan semua kerana barang kali ada jemaah yang terlupa mematikan telefon bimbit mereka.

Satu lagi peringatan kepada para imam pula janganlah membawa telefon bimbit ketika bertugas menjadi imam atau bilal yang bertugas kerana amatlah memalukan apabila telefon kita yang berbunyi. Sebaiknya kepada para imam dan bilal tidak membawa telefon bimbit ketika bertugas sebagai imam dan bilal.

Satu lagi pandangan penulis mengenai telefon bimbit ini ialah mengenai nada bunyi ada lagunya. Saya mendengar ada bunyi azan dan ada yang mengalun-alunkan selawat dan ayat-ayat al-Quran rasanya amat menarik sekali. Tetapi pada pandangan penulis ada juga masalahnya. Kerana kadang-kadang terlupa membawanya ke tandas.

Pernah penulis mendengar selawat azan dan ayat al-Quran di dalam di tandas. Rasanya ia juga amat tidak sesuai. Sebenarnya lagu dan nada bunyi tidak menjadi masalah tetapi masalah apabila i berbunyi di dalam tandas.

Kadang-kadang kita rasanya ia tidak menjadi apa-apa persoalan tetapi kepada sebahagian orang amat mengganggu sekali.

Marilah sama-sama kita menjadi orang yang prihatin kepada keadaan sekeliling agar perbuatan kita sesuai dan kena pada tempatnya. Dengan itu kita dapat menjaga kehormatan orang lain dan yang lebih penting supaya kita dapat menjaga kehormatan dan kesucian masjid.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!