26 Mac 2015


Oslo: Sebut saja penjara terbayang di dalam fikiran kita bilik kurungan yang sempit dan gelap, berdindingkan konkrit dan berjeriji besi dengan hanya berlantaikan simen.

Membayangkannya saja sudah cukup menyeksakan apatah lagi untuk menjalani kehidupan selama bertahun-tahun dalam suasana yang cukup berbeza dengan kehidupan bebas dan selesa di luar.

Namun Penjara Halden di Norway berbeza. Penjara yang dibina dengan kos 1.5 billion kroner (RM82 juta) itu disifatkan sebagai bukan sekadar penjara paling mewah malah paling berperikemanusiaan di dunia.

Hukuman maksimum di Norway termasuk bagi kesalahan membunuh adalah penjara 21 tahun. Semua tahanan akan kembali menjalani kehidupan normal bersama masyarakat selepas hukuman.

Penjara itu seboleh mungkin mahu menyamakan suasananya dengan kehidupan di luar, sebagai persediaan kepada banduan sebelum mereka bebas.

Penjara itu dibuka pada 2010 dan memiliki kawalan keselamatan paling ketat untuk menempatkan mereka yang melakukan kesalahan berat termasuk membunuh, merogol sehingga kepada pesalah pedofilia.


Menariknya, setiap tingkap selnya langsung tidak mempunyai jeriji besi sebagaimana yang digambarkan dalam kebanyakan penjara di mana-mana negara sekali pun.

Ia seolah-olah seperti berada dalam sebuah unit pangsapuri, banduan ditempatkan di dalam bilik yang mempunyai aliran udara, lengkap dengan bilik mandi berlantaikan seramik.

Televisyen berskrin rata juga disediakan bersama kemudahan peti ais mini untuk kegunaan banduan.

Setiap banduan dalam 10 hingga 12 sel akan berkongsi sebuah dapur dan ruang tamu di mana mereka boleh menyediakan sendiri makan malam mereka sambil berehat selepas seharian bekerja.

Banduan juga diberikan kemudahan pendidikan dan riadah untuk memastikan mereka sentiasa sibuk dan gembira.

Penjara Halden adalah penjara kedua terbesar di Norway, kini menempatkan 248 hingga 252 banduan, namun separuh daripada pengawalnya adalah wanita.

Ini kerana kerajaan percaya bahawa golongan terbabit mampu mengurangkan tekanan dan menggalakkan kelakuan baik di kalangan tahanan.

Malah kakitangan di situ langsung tidak merasa terancam untuk bersama tahanan bermain ping-pong, kad permainan dan backgammon.

"Jika berasa terancam saya tahu ada 30 pengawal yang akan datang dalam masa seminit untuk membantu saya. Malah semua banduan di sini mengetahuinya," kata pengawal penjara, Tina Bratas.

Banduan di Halden turut dibenarkan menggunakan internet tetapi dalam tempoh terhad. Mereka hanya dibenarkan membuat panggilan keluar untuk sekurang-kurangnya 20 minit seminggu. Surat akan dibuka dan dibacakan sebelum diserahkan.

Gaya hidup Halden distrukturkan supaya menyamai kehidupan normal. Setiap pagi banduan akan keluar ke sekolah atau bekerja sama ada sebagai tukang masak atau tukang cuci dengan pendapatan 60 NOK (RM27) sehari.

Norway mempunyai kadar pemenjaraan sebanyak 70 bagi setiap 100,000 penduduk menjadikan sejumlah 3,571 tahanan dicatatkan di seluruh negara terbabit.

Ini berbeza sekali dengan kadar di Amerika Syarikat di mana ia adalah 10 kali ganda atau 707 bagi setiap 100,000 penduduk bersamaan dengan 2.2 juta penduduk yang dipenjarakan di seluruh negara terbabit.

Malah di sebuah negara yang hukuman penjara seumur hidup tidak wujud, Norway memiliki kadar kesalahan berulang paling rendah di Eropah iaitu hanya 20 peratus. 

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!