5 Mac 2015


Penglibatan rakyat negara ini bersama kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria ternyata sudah melampau dan tersasar daripada ajaran Islam.

Terbaharu, dua pemuda anggota IS Malaysia dikesan terlibat dalam rakaman video penyembelihan rakyat Syria di negara bergolak tersebut.

Video berdurasi 30 saat itu dipercayai dirakam oleh rakyat negara ini yang dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Mohd. Faris Anuar, 20, berasal dari Gurun, Kedah.

Turut berada dalam rakaman tersebut ialah rakannya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dari Durian Tunggal Melaka.

Muhammad Wanndy kemudiannya dipercayai memuat naik video tersebut menerusi akaun Facebook menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh pada 22 Februari lalu.

Berdasarkan rakaman itu, seorang lelaki warga Syria disembelih oleh seorang lelaki Arab kerana didakwa menjadi pengintip kepada tentera Bashar al-Assad.

Kemudian, seorang lelaki berwajah mirip Melayu mengangkat kepala yang telah terputus itu sambil melaungkan ‘Allahuakbar’ sambil Muhammad Wanndy bergambar dengan mayat tersebut serta Mohd. Faris merakamkan video ber­kenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, Muhammad Wanndy bertolak ke Syria bagi menyertai IS pada 26 Januari lalu bersama isterinya, Nor Mahmudah Ahmad, 26, yang berasal dari Baling, Kedah.

“Mereka pergi ke sana menaiki kereta api menerusi Bangkok sebelum menaiki pesawat ke Moscow seterusnya ke Istanbul dan masuk ke Syria.

“Sementara Mohd. Faris dikesan pergi ke sana pada 23 September tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Ayub Khan, peng­libatan rakyat negara ini dalam kejadian penyembelihan seperti ini merupakan kali ketiga selepas dua anggota Jemaah Islamiah (JI) terlibat dalam insiden sama di negara jiran pada 2007 serta dua anggota Darul Islam yang menyertai kumpulan Abu Sayyaf melakukan perkara sama di Selatan Filipina pada 2011.

“Ideologi kumpulan ini sama iaitu berdasarkan Salafi Jihadi yang menghalalkan mereka melakukan tindakan ganas dan kejam.

“Jika kita bukan daripada kumpulan berkenaan, mereka boleh bunuh dan sembelih walaupun sesama beragama Islam,” ujarnya.

Selain itu, ujar Ayub Khan, pihaknya turut mengesan seorang rakyat Malaysia yang kini berada di Syria memberi ugutan bunuh terhadap ahli keluarganya sekiranya terlibat dengan kerajaan atau menghalang tindakannya ke Syria.

“Dia memberi amaran menerusi Facebook sekiranya ada ahli keluarganya termasuk ibu bapa dan adik-beradik terlibat dengan kerajaan atau menghalangnya menyertai IS, dia akan balik dan jika ada kesempatan akan membunuh mereka,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!