17 Mac 2015


SELEBRITI terkenal, Salih Yaacob mengaku bukan mudah beristeri empat. Pelawak popular ini memberitahu, amalan poligami memerlukan kesungguhan dan keikhlasan dalam setiap tindakan diambil.

Sehubungan itu, Salih berpesan kepada kaum lelaki yang berhajat berkahwin lebih seorang supaya mengenali diri sendiri. Katanya, lelaki perlu tahu keupayaan yang ada supaya dapat memikul amanah dengan baik.

"Bukan untuk suka-suka. Apabila kita memilih jalan ini (poligami), kita perlu ikhlas dan tahu tanggungjawab kita," katanya kepada BH PLUS.

Salih memiliki empat isteri iaitu Norlizah Mamat, 50; Norraha Hamat, 46; Norfara Wahida Sulaiman, 36, dan Samihah Sheikh Amy (Emi), 29.

Hasil perkahwinannya, penyampai radio Sinar FM itu dikurniakan 11 anak dan bakal menyambut cahaya mata ke-12 hasil perkahwinannya dengan isteri terbarunya, Samihah pada tahun 2011.

Ditanya apakah tip poligami yang menjadi pegangannya, Salih tersenyum penuh makna sambil menegaskan, perkara paling penting ialah tahu tanggungjawab sebagai suami dan pemimpin keluarga besar.

"Perkara ini satu yang sangat besar, serba serbinya besar dan serius," katanya.

Beliau menambah, meskipun sukar untuk mencapai tahap sempurna, tetapi perlu sentiasa berusaha ke arah itu.

Salih berkata, tanggungjawab bukan sekadar pada isteri tetapi anak-anak hingga ke cucu.

Katanya, sebagai ketua keluarga, segala bekalan perlu disediakan untuk semua ahli keluarga bukan setakat di dunia tetapi akhirat.

"Tidak dinafikan akan ada hati yang terasa. Tetapi kita sebagai nakhoda perlu tahu membaca semua kemungkinan dan mencari penyelesaian terbaik.

"Bukan senang atau untuk suka-suka, kalau niat salah baik lupakan saja," katanya serius.

Sekali lagi pesan Salih, jika benar mahu berpoligami, pastikan diri mampu merencananya dengan baik sama ada dalam aspek zahir mahupun batin.

Ditanya sejauh mana sifat jenakanya banyak membantu kehidupan harian, Salih berkata, beliau adalah insan biasa.

Menurutnya, jenakanya hanya pada tempat dan suasana.

Tahun ini kali kedua, personaliti ini tercalon dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.

Menariknya, beliau tidak bersaing dalam kategori pelawak, sebaliknya Penyampai Radio Lelaki Popular iaitu bidang yang disertainya sejak lapan tahun lalu.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!