9 Mac 2015


Jenazah Allahyarham Harun Salim Bachik selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Raudhatul Sakinah, Gombak pukul 11.20 pagi tadi.

Turut berada di tanah perkuburan ialah isteri dan anak Allahyarham.

Antara rakan selebriti yang hadir termasuk Datuk Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Hans Issac, Den Wahab, Imuda dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Afdlin Shauki yang baru sahaja bertemu dengan pelakon komedi itu pada Jumaat lepas akui terkejut dengan pemergian Allahyarham.

“Ketika beliau masuk ke kedai makan hari itu,  saya bergurau dan berkata ‘Ada cahaya Nur di belakang’ kerana waktu itu tengah hari dan beliau berjubah.

“Ketika itu kita bincang tentang kontrak dan juga produk baharu iaitu kek cokelat. Beliau juga seronok untuk kembali ke pentas teater untuk ‘Baik Punya Cilok’ setelah lapan bulan tidak bekerja, namun Allah menentukan segalanya,” kata Afdlin.

Untuk program Maharaja Lawak Mega pada tahun 2011 sehingga 2013, Afdlin bergandingan bersama Allahyarham sebagai kumpulan Boboi.

“Beliau bukan tulang belakang Boboi, tetapi beliau ada seorang genius. Beliau akan menimbulkan kecerian dengan idea-idea yang sangat spontan. Saya anggap dia sebagai seorang legend dalam komedi yang tidak diiktiraf ramai,” sambung Afdlin dengan nada sedih.

Hans Isaac juga terkejut dengan pemergian Allahyarham.

Ini kerana Allahyarham sepatutnya terlibat dalam pementasan teater 'Baik Punya Cilok' yang akan mula pementasan pada April ini.

“Kita baru sahaja berbincang dua tiga hari lepas namun sekarang ini saya dengan Afdlin terduduk seketika. Kita tidak akan membuat sebarang promosi untuk tiga hari seperti di Instagram. Untuk menghormati Abang Harun, semasa pementasan kita akan buat tribute pada setiap malam,” kata Hans.

Selaku seorang ‘senior’ di dalam industri, Hans memuji sikap Allahyarham yang sangat profesional dan tidak pernah marah.

“Baik dalam filem atau teater terbitan syarikat saya, nama beliau mesti akan ada. Kalau watak itu ada, dia adalah pilihan pertama. Beliau merupakan pelakon yang unik dan tiada ganti,” kata Hans.

Turut menjayakan teater 'Baik Punya Cilok' adalah Awie yang turut terperanjat dengan berita kematian Allahyarham.

“Memang tiada tanda-tanda. Kita nampak pergerakan dia agak perlahan tetapi dia tidak cakap apa-apa. Kita kehilangan seorang seniman yang sangat hebat,” kata Awai.

Pelakon Den Wahab pernah bergandingan bersama Allahyarham untuk program komedi Gado-Gado pada era 1980-an dan akui mereka memang rapat.

“Sebagai kawan, ini merupakan satu kehilangan besar.

“Kali terakhir kami bertemu adalah ketika majlis pengebumian Allahyarham Datuk Jamil Sulong di Janda Baik tetapi sejak itu kami ada telefon. Memang tiada tanda-tanda yang pelik,” jelas Den Wahab.

Pelakon komedi terkenal yang juga bekas Presiden SENIMAN itu meninggal dunia setelah mengalami sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak pukul 4.20 petang semalam.

Ketika itu bekas Presiden Seniman ini dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang bersama keluarganya.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui lakonan beliau di dalam drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan di TV3 pada awal tahun 90-an.

Allahyarham turut dikenali menerusi program bersiri Oh My English yang disiarkan di Astro CERIA.

Selain berlakon beliau juga merupakan seorang penyanyi. Pernah menghasilkan satu album pada tahun 1996 yang berjudul Belilah. Lagu yang paling mendapat sambutan dalam album tersebut ialah Banjir.

Antara filem-filem lakonan beliau adalah Man Laksa, Baik Punya Cilok, Apa Kata Hati, KIL dan Lelaki Harapan Dunia.

Beliau adalah anak lelaki kepada seorang pelakon zaman 50-an iaitu Allahyarham Salim Bachik.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!