25 Mac 2015


Rambutnya kini dipotong pendek gaya Bob dengan tubuhnya makin langsing.

Berstatus ibu tunggal, penyanyi yang juga pelakon, Jeslina Hashim begitu ketara perubahan pada dirinya kebelakangan ini.

Berbanding penampilannya di awalan kerjaya sekitar 1998 dan seiring dengan peredaran masa, Jeslina ternyata menunjukkan transformasi berbeza.

Perubahan pada Jeslina dapat dirasai baru-baru ini ketika BH Online bertemunya di Istana Budaya ketika menonton konsert Puteri Gunung Ledang, Rebirth Of Legend.

Apa yang pasti, ibu kepada dua anak - Micah, 7 dan Keira, 5, jelas menunjukkan kematangan buat penyanyi yang pernah diingati dengan lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia.

Jeslina sudah tiga tahun hidup solo. Dia sah bercerai talak satu dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada 9.55 pagi di Mahkamah Tinggi Syariah, Mac 2013.

Jeslina dan Dion telah berkahwin pada 21 April 2005.

Ketika itu keputusan mahkamah memutuskan anak tinggal di bawah jagaan Dion namun Jeslina masih berpeluang melawat anaknya.

"Saya kini lebih sibuk dengan kehidupan sendiri selain bersama anak yang makin membesar. Pada masa sama, saya juga sibuk dengan perniagaan. Saya juga mempunyai rangkaian pakaian sendiri di bawah nama Jeslina Hashim.

"Ikutkan memang rindu untuk kembali menyanyi contohnya. Ada tawaran tapi belum ada yang kena pada masa. Masa saya agak terhad kerana tumpuan lebih kepada perniagaan dan anak," katanya yang pernah membintangi filem Seri Dewi Malam di samping Maya Karin.

Sempat ditanya apa rahsia badannya kian mengecil, Jeslina sempat berseloroh mengatakan alasannya kerana sakit jiwa. Jawapan itu disambut dengan hilai tawa manja suaranya. Hakikatnya Jeslina kini pasang badan untuk memastikan aspek kecantikan dan kesihatan seimbang.

"Memang kena jaga. Malah saya turut mengajar anak memakan makanan sihat. Apabila ajak anak begitu, saya pun kena buat benda yang sama. Saya turut bersenam di rumah. Di rumah pendek kata lengkap semua kelengkapan bersenam," katanya.

Diaju persoalan bagaimana dia meneruskan kehidupan sekarang tanpa insan bernama suami, Jeslina mengakui melaluinya dengan tenang.

"Saya tidak bergelut. Saya lalui kehidupan sebaik mungkin. Saya ada keluarga, kawan dan semestinya dua anak yang menjadi pengarang jantung," katanya yang pernah memenangi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-15 menerusi filem Seri Dewi Malam.

Sempat diusik dengan pertanyaan sama ada dia sudah bertemu pengganti atau tidak, Jeslina menjelaskan dia belum ada lelaki yang istimewa.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!