31 Mac 2015


“MASIH di takuk lama.”

Itu pandangan peribadi legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang menyifatkan jurulatih tempatan masih belum cukup bagus selepas menyaksikan skuad Harimau Malaya mempamerkan permainan hambar ketika dimalukan 6-0 oleh Oman pada aksi perlawanan persahabatan di Muscat baru-baru ini.

Khalid antara pemain tengah serba boleh pada era 1970 dan 1980-an itu meluahkan kekecewaannya selepas menyaksikan betapa longgar dan rapuhnya skuad negara pada perlawanan tersebut.

“Secara jujur, saya sudah jangkakan kekalahan tersebut tetapi bukan dengan keputusan yang memalukan seperti ini. Taktikal yang digunakan juga hambar dan membosankan.

“Mereka perlu memperbaiki kelemahan dan kelonggaran dalam pasukan negara jika mahu melangkah lebih jauh pada kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya lagi, pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh, perlu bijak menangani kelonggaran yang ada dalam skuad negara selain memilih pemain yang benar-benar layak untuk menyarung jersi keramat pasukan negara.

“Kelemahan pada skuad Dollah boleh dilihat pada semua posisi termasuk bahagian tengah dan juga serangan. Selepas ini, dia (Dollah) perlu menekankan aspek pemilihan pemain. Pemain yang dipilih perlulah benar-benar berkualiti serta layak.

“Saya juga tidak berpuas hati dengan prestasi Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang semakin merudum sejak kebelakangan ini. Dia perlu gandakan usaha untuk mengembalikan rentaknya yang sebenar,” ujar Khalid.

Menurutnya lagi, beliau berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mempertimbangkan cadangan untuk mengambil jurulatih teknikal dari luar negara bagi membantu dan memberi nasihat kepada barisan jurulatih tempatan.

“Jurulatih kita sebenarnya masih kurang pengalaman dalam dunia bola sepak moden dan pakar teknikal amat diperlukan untuk membantu mereka.

“Saya juga cadangkan agar FAM menghantar jurulatih kita untuk menimba ilmu kejurulatihan di luar negara kerana langkah seperti ini akan membantu mematangkan mereka. Saya juga berharap agar kekalahan kita kepada Oman baru-baru ini tidak boleh dipandang mudah,” tambah Khalid lagi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!