9 Mac 2015


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar  akan menjadi ‘ketua pembangkang’ sekaligus membacakan ucapan ketua pembangkang di Parlimen bagi membahaskan titah Diraja, esok di Dewan Rakyat.

"Saya akan bacakan ucapan Ketua Pembangkang bagi menyampaikan suara Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam dewan esok.

"Saya tak nampak ada halangan untuk saya mewakili beliau kerana sebelum ini Datuk Saifuddin Nasution juga pernah mewakili Anwar untuk membacakan ucapan ketua pembangkang," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Izzah menjelaskan tiada sebab untuk beliau tidak dapat mewakili bapanya kecuali dihalang oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tidak rasa ada masalah melainkan ada halangan politik lain yang tidak menginginkan perkara itu berlaku," katanya.

Anwar tidak dapat menghadiri sidang Parlimen berikutan menjalani hukuman penjara kerana dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang mengemukakan pengampunan Diraja yang dipohon keluarganya.

Sementara itu, Nurul Izzah menegaskan bahawa pakatan pembangkang tidak akan berhenti berusaha untuk memastikan Anwar dapat menyertai sidang Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.

"Kita terus menerus berusaha agar beliau diberikan ruangan untuk hadir dalam sesi kali ini," tegas beliau.

Sementara itu Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul turut mengesahkan perkara berkenaan.

"Saya akan jumpa Speaker, setakat ini hampir pasti beliau (Izzah) yang akan baca. Sekarang ini kami dalam proses nak maklumkan kepada Speaker yang akan bacakan ucapan adalah Lembah Pantai," kata Ahli Parlimen PKR Sungai Petani itu di lobi Parlimen hari ini.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!