16 Mac 2015

Mangsa dana Jasman di Balai Berita

Itu taktik terbaru pelaburan 'Dana Haji Jasman' untuk menipu orang ramai selepas sindiket terbabit dikesan dan disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2012.

Sindiket itu yang diketuai individu sama tetapi kononnya kini sudah bergelar Tan Sri Haji Jasman, mendakwa ada sejumlah dana milik Raja-Raja Melayu yang tersimpan di England.

Dia mendakwa, pada awal kurun ke-20 kerajaan British berjanji akan memulangkan harta berkenaan yang berjumlah RM2,400 trilion selepas cukup 100 tahun.

Bagi meyakinkan bakal pelabur, sindiket itu menunjukkan surat perjanjian ditandatangani kerajaan British, selain keratan akhbar mengenai harta berkenaan ketika memberi taklimat.

Bagaimanapun, dana berkenaan tidak dapat dikeluarkan kerana pihak berkuasa di negara itu mengenakan caj serta kos penghantaran pulang dana berkenaan.

Berikutan itu, sindiket terbabit menawarkan pelbagai pakej pulangan kepada pelabur yang boleh menyumbangkan untuk membawa pulang dana berkenaan.

Terbaru, pelabur ditawarkan pulangan RM1.5 juta bagi setiap RM100 yang dilabur. Pelaburan itu diserahkan kepada ejen sindiket terbabit yang dikenali sebagai 'Pay Master'.

Pelabur dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan diminta menandatangani baiah (akujanji) untuk tidak melanggar 10 syarat termasuk taat kepada kerajaan dan juga tidak melakukan maksiat.

Difahamkan, kira-kira 160,000 pelabur Melayu di seluruh negara menyertai skim pelaburan berkenaan.

Taktik itu didedahkan oleh seorang pelabur yang mahu dikenali sebagai Ujang, 59.

Ujang berkata, Jasman yang dikatakan menetap di Sepang, Selangor, menganjurkan beberapa siri taklimat dan makan malam di Damansara, Bandar Tasik Selatan dan Kepong Bestari, baru-baru ini.

Ribuan pelabur dari pelbagai latar belakang pekerjaan seperti pemandu teksi, bekas tentera, profesional dan ahli perniagaan menghadiri majlis berkenaan.

Bagaimanapun, penganjur tidak membenarkan pelabur membuat rakaman sepanjang taklimat itu.

"Pelabur perlu menyerahkan wang sekurang-kurangnya RM500 sebagai usaha membantu Jasman mengeluarkan 'dana Melayu' itu di England.

"Saya sudah melabur hampir RM800 dan dijanjikan pulangan modal hampir RM10 juta pada bulan ini," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pengawal peribadi tokoh korporat.

Ujang berkata, bagi meyakinkan pelabur bahawa kegiatan itu sah, mereka menunjukkan kira-kira 4,000 laporan polis terhadap Jasman berhubung kutipan berkenaan, tetapi masih beroperasi hingga kini.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata, sindiket pelaburan terbabit dilaporkan bergiat aktif sejak tahun 2007.

"Di peringkat awal, sindiket itu mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit menerusi skim pelaburan ala perniagaan jualan langsung berbilang tingkat (MLM)," katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!