19 Mac 2015


PUTRAJAYA – Hukuman penjara terhadap 12 penyokong Pas yang disabitkan kesalahan menyertai perhimpunan haram pada tahun 2009 bagi menghalang upa­cara angkat sumpah jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (gambar kecil), dikurangkan kepada 10 bulan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Wira Mohtarudin Baki, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mendapati mereka bersalah terhadap pertuduhan itu mengurangkan hukuman penjara dua tahun yang diputuskan oleh mahkamah itu kepada 10 bulan.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli bagaimanapun mengekalkan denda RM5,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen terhadap setiap daripada mereka.

Penyokong Pas itu ialah Bad Latif Mansor, 49; Suhana Abdullah, 50; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; Mohd. Faiz Mohd. Arshad, 28; Zulhaizam Zulkifli, 31; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilme Mohd. Nasir, 45; Yusuf Jaafar, 50; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 50; Mohd. Hasri Ismail, 49, dan Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49.

Abdul Rahman semasa menyampaikan keputusan itu berkata, perhimpunan itu, yang disertai 12 tertuduh adalah haram kerana ia bertujuan untuk menghalang proses perundangan upacara angkat sumpah jawatan dan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya, mahkamah berpandangan bahawa oleh sebab perhimpunan itu adalah ha­ram, polis diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan bagi menyuraikan orang ramai sekiranya arahan bersurai tidak diendahkan.

Beliau berkata, walaupun menyertai perhimpunan aman dibenarkan oleh Perkara 10(b) Perlembagaan Persekutuan, ia bukan hak mutlak.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!