17 Mac 2015


Berselindung di sebalik perwatakan warak di laman sosial Facebook (FB), seorang lelaki menggunakan medium berkenaan untuk memperdayakan orang ramai bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

Lelaki berasal dari Cheras itu akan menghubungi mangsa untuk mendapatkan belas kasihan berbentuk wang ringgit dengan alasan menyambung pengajian di sebuah pusat pengajian Islam di Jambi, Indonesia.

Malah, lelaki berusia dalam 20-an berkenaan turut menyertakan surat tawaran pengajian daripada institusi berkenaan bagi meyakinkan individu yang cuba diperdaya mengenai ‘niat’ sebenar dia meminta derma.

Lelaki terbabit juga memberikan alasan baru saja mengalami kemalangan jalan raya serta mengalami masalah kewangan, namun terpaksa meminjam wang kerana terdesak mahu menyambung pelajaran dalam tempoh terdekat.

Lelaki ini dikesan menyasarkan lelaki atau individu mempunyai status kewangan kukuh serta daripada golongan berpendidikan agama sebelum menyapa mangsa menggunakan FB.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Abdul Qayyum berkata, selepas melihat respons baik daripada mangsa, lelaki terbabit akan mula bercerita mengenai kesusahan yang dialaminya bagi menimbulkan rasa simpati seterusnya meminta bantuan kewangan.

“Selepas menjadi rakan dalam FB, lelaki terbabit bijak menyusun kata-kata dan mula ‘cucuk jarum’ dengan menceritakan kesusahan dialami selain mengakui melanjutkan pengajian di Indonesia,” katanya.

Selain itu, individu ini dipercayai pernah ‘ditendang’ dari sebuah institusi kerana menipu pelajar lain dan pensyarah dengan menggunakan taktik sama selain dikesan memperdayakan beberapa ustaz terkenal di FB.

Menurutnya, dia hampir diperdaya lelaki berkenaan apabila dihubungi dalam kejadian Selasa lalu.
Katanya, menggunakan nama Sinar Islam, lelaki itu pada awalnya memohon bantuan sekadar termampu dan individu berminat boleh memasukkan wang ke dalam akaun.

“Namun, lelaki terbabit semakin mendesak dan turut memberikan dua nombor akaun bank bagi tujuan sumbangan dengan alasan memudahkan saya selain menyertakan surat tawaran pengajian daripada sebuah institusi pengajian Islam.

“Saya mula curiga kerana surat itu tertera tarikh pendaftaran pada 17 Oktober 2014 ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya sedangkan ia dikeluarkan institusi pengajian Islam di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Superintendan Mohd Sakri Arifin berkata, orang ramai yang mengesyaki berlakunya kes penipuan di Internet diminta membuat laporan.

“Apabila laporan dibuat, pihak kami mengadakan siasatan sama ada kes itu benar-benar memperdayakan orang ramai atau tidak dan sekiranya benar, kami akan mengambil tindakan.

“Sama ada mangsa sudah menyerahkan wang atau belum, mereka diminta tampil membawa bukti dan jika didapati bersalah tindakan akan diambil mengikut Akta Multimedia dan Komunikasi 1998,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!