25 Mac 2015


Sebarang tindakan daripada mana-mana pihak untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan bakal memberi impak buruk kepada parti itu sendiri.

Justeru, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, penyelesaian segera hendaklah dicari khasnya DAP untuk terus memantapkan Pakatan Rakyat.

"Jika penyelesaian segera tidak dapat dicapai, maka hubungan yang sedia ada semakin runcing dan saya yakin penuh sekusut mana pun hubungan, kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat, pasti akan jumpa jalan penyelesaiannya.

"Cara yang terbaik ialah, pemimpin Pakatan Rakyat perlu segera bertemu dan mencari titik persamaan untuk terus bersama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang memaklumkan kesemua 37 Ahli Parlimen DAP mengumumkan keputusan menolak pelaksanaan undang-undang hudud oleh PAS kerana ia disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan.

Kata Guan Eng lagi, rakyat negara ini yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu mengundi untuk dasar bersama, bukan untuk pelaksanaan hudud.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat meminta DAP melihat dan mencari penyelesaian dalam isu hudud dengan cara berdamai.

Jelasnya, setiap parti di dalam gabungan Pakatan Rakyat harus melihat masa depan yang cerah dan mencari jawapan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!