26 Mac 2015


Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap amat melampau sekali gus memberi isyarat hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai.

Perkara itu disua­rakan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut menyelar tindakan DAP menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhia­nat kerana ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.

“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu per­ba­i­ki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan berpecah.

“Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini, tidak fahamkah DAP bahawa Pre­siden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan Pre­siden nak berhubung dengan siapa?

“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

DAP semalam mengambil keputusan untuk memutuskan hubu­ngan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu me­laksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhia­nat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian ber­kenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.

Dalam pada itu, tokoh ulama berpengaruh itu berkata, Pas sudah berkali-kali menyatakan kepada DAP bahawa jika mereka merasakan tidak perlu lagi kepada pakatan, maka parti itu dipersilakan keluar daripada gabungan kerjasama antara mereka. Menurut beliau, DAP perlu membuat keputusan sebegitu tanpa lagi berdolak-dalik mencari pelbagai alasan dengan menjadikan isu hudud sebagai modal pekikan mereka.

Sedangkan Pas, katanya, meng­anggap pakatan masih lagi berguna dan boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan sebaliknya.

“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Haron berkata, DAP diminta merujuk semula keputusan pakatan pembangkang dalam soal hudud iaitu ketiga-tiga parti bersetuju dalam tidak bersetuju tentang agenda perjuangan Pas tersebut.

“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud tetapi ja­nganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!