4 Mac 2015


Tiada siapa pun boleh menyekat kebenaran hakikat usaha menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahkan usaha itu sebenarnya sudah wujud sejak dulu lagi kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyatakan demikian melalui status Facebooknya:

“Jangan dicabar anak-anak di bawah yang hidup terfitnah atas kesalahan kita sendiri. Kita yang di ataslah yang memulakan fitnah dan kemelut yang bermula daripada 'kerja-kerja bodoh dalam PAS' yang berusaha memisahkan Almarhum ayahanda TGNA daripada presiden PAS sejak bertahun dulu.

“Mahu nafikan usaha buruk itu?? Jika anda bermati-matian mahu nafikan, saya hidup-hidup akan istiqamah membenarkan apa yang saya kata.

Nik Abduh berkata beliau yakin antara ketenangan ayahanda Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat sebelum ajalnya adalah keharmonian hubungannya yang semakin teguh dengan para ulama syura PAS dan Hadi Awang.

Dalam kenyataan yang sama, beliau berkata sesiapa sahaja boleh menyatakan apa yang mereka mahu namun tiada siapa boleh hentikan kebenaran hakikat itu daripada didedahkan.

“Siapa pun boleh berkata, 'marilah kembali tautkan ukhuwwah Islamiyah'. Tetapi tiada siapa pun boleh menyembunyikan hakikat bahawa kadang-kadang kalimah keramat itu adalah bertujuan menutup kekejian yang kian terdedah,” ujar beliau.

Nik Mohamad Abduh juga memberikan amaran kepada mereka yang cuba menyebarkan fitnah.

“Fitnah itu tidur dengan kehendak Tuhannya. Bila ia dibangkitkan, tiada siapa boleh tidurkannya lagi. Biarkan ia berlalu pergi dan anda hanya perlu berpaut pada dahan yang kukuh. Keselamatan diri adalah lebih utama.

“Petunjuk Allah adalah jelas pada hari fitnah. Semakin anda memberanikan diri, semakin anda dilitupi debu dan asap. Justeru 'Takutilah fitnah..' dengan kembali mentaati Allah, al Rasul dan 'ulil amri minkum'. Sunnah al khulafa' al Rasyidin adalah petunjuk sepanjang zaman,” jelas beliau.

Beliau juga berkata ada pihak yang mencabar untuk berdepat daripada kalangan AJK PAS Pusat.

"Kepada yang mencabar untuk berdebat daripada kalangan AJK PAS Pusat, saya berkata, kamu sudah ada presiden PAS untuk didebat. Bukankah 'barua' itu daripada kalam presiden? Bukankah sebahagian kita telah berkalam biadap di depan presiden?

Beliau berkata kembalilah taat kepada kepimpinan presiden dan hala tuju perjuangan PAS yang dipilih oleh ketua dan Majlis Syura Ulama.

"Ketaatan pada ketua adalah ibadah kepada Allah," kata Nik Abduh.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!