25 Mac 2015


Jempol: “Saya tetap untung selepas tolak bayaran sewa kedai RM70 dan bil elektrik dianggarkan RM20 sebulan. Jadi, bagi saya tidak perlu naikkan upah gunting rambut walau harga minyak dan pelbagai lagi naik,” kata tukang gunting rambut Chamer Yatin yang menjalankan perniagaannya di Bandar Seri Jempol, di sini.

Mengejutkan apabila dia masih mengekalkan harga murah iaitu pada RM3 dan RM2 sejak tujuh lalu iaitu bagi menggunting rambut pelanggan berusia 18 tahun ke atas dan sebaliknya.

Chamer, 60, dari FELDA Palong 12, dekat sini, berkata, harga yang ditawarkan itu tidak menjejaskan pendapatannya, malah setiap hari dia menerima kehadiran pelanggan.

Dia yang menjadi tukang gunting rambut sejak 30 tahun lalu berkata, pada hari biasa kira-kira 30 pelanggan mendapatkan khidmatnya yang merupakan satu-satunya tukang gunting di FELDA berkenaan.

“Harga sama juga dikenakan bagi mereka yang mencukur jambang dan membotakkan kepala,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Bapa kepada tiga orang anak berusia 23 hingga 33 tahun itu berkata, jumlah pelanggan meningkat sehingga mencecah 60 orang sehari pada musim perayaan dan cuti sekolah.

“Saya pernah dimarahi pelanggan kerana tidak buka kedai selama tiga hari kerana mereka sudah biasa bergunting rambut dengan saya,” katanya.

Chamer berkata, pelanggan yang datang ke kedainya termasuk penduduk dari kawasan FELDA berhampiran.

“Saya menjalankan perniagaan bermula jam 5 petang dan berlarutan ke awal pagi bergantung kepada pelanggan termasuk mereka yang membuat tempahan menerusi telefon,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan terkejut dan seakan tidak percaya apabila diberitahu mengenai bayaran dikenakan.

Sementara itu, pelanggan setianya, Rahmat A Rahman, 52, berkata, harga ditawarkan amat murah iaitu kira-kira empat kali ganda lebih murah berbanding di tempat lain antara RM10 hingga RM12.

Katanya, apa juga fesyen rambut yang diingini pelanggan tetap dikenakan bayaran sama dan Chamer tidak berkira sangat mengenainya.

“Sejak kedai gunting rambut ini dibuka yang juga satu-satu kedai di FELDA ini, saya adalah pelanggan tetapnya.

“Disebabkan sambutan hebat pelanggan, ada ketika saya terpaksa membuat tempahan melalui telefon,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!