12 Mac 2015


Persatuan Pelancongan dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat) menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menyelamatkan banglo milik tokoh Islam terkenal di negeri ini, Syed Sheikh Al-Hadi di Jelutong yang kini menjadi rumah ibadat bukan Islam.

Presidennya, Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiran Mustafa berkata, Jabatan Warisan Negara boleh memulakan langkah itu berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Akta Bangunan dan Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Katanya, jika perkara itu dibiarkan, akan menjadi kerugian besar kepada sejarah peradaban Melayu dan Islam di negeri ini kerana rumah banglo lama seni bina Me­layu klasik itu merupakan sebahagian daripada sejarah penting negeri ini.

“Sebelum ini Rumah Teh Bunga yang berkait rapat dengan Jawi Peranakan di Jalan Hutton berjaya dibaik pulih selepas diperjuangkan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) berdasarkan akta itu dan kami yakin sekiranya ada kesungguhan, sudah pasti satu lagi warisan sejarah Melayu tidak hilang ditelan arus kemodenan,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PAWMPP), Tan Sri Mohd. Yussof Abdul Latiff mendedahkan, usahanya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menyelamatkan rumah itu menemui jalan buntu selepas pemiliknya enggan bekerjasama.

Ketika tinjauan Utusan Malaysia di rumah berkenaan pada November lalu, penja­ganya iaitu dua wanita warga emas memaklumkan tempat ber­kenaan telah dijadikan tokong sejak tahun 1950-an.
Mengulas lanjut, Syed Kamalrul Sufian berkata, berdasarkan kajian pihaknya, Syed Sheikh Al-Hadi terpaksa memajak rumah itu kepada ceti pada tahun 1930-an disebabkan kemelesetan ekonomi ketika itu.

Katanya, pada 1942, rumah itu dilelong dan dibeli seorang lelaki bernama Khoo Kim Kee tetapi timbul masalah kerana bangunan itu dimiliki oleh orang Melayu.

“Hanya pada tahun 1952, pembelinya mendapat hak milik untuk menguasai rumah berkenaan dan ketika dijual berharga RM5,000,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!